Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur

Penyokong Perak boleh kembali memenuhi Stadium Perak bagi kempen Liga Malaysia musim depan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menarik balik hukuman empat perlawanan beraksi tanpa penonton dikenakan ke atas mereka sebelum ini.

Keputusan itu diputuskan Jawatankuasa Rayuan FAM Selasa lalu yang menyaksikan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) turut menarik nafas lega apabila denda RM140,000 yang dikenakan atas lapan pertuduhan susulan insiden kekecohan penyokong di Stadium Perak pada aksi Liga Super menentang Selangor pada 5 April lalu dan Johor Darul Ta'zim (Johor DT), 15 April dikurangkan kepada RM70,000.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Rayuan FAM A Ghanarajah pihaknya mengkaji setiap sudut rayuan dikemukakan PAFA dan berasa mereka mempunyai asas untuk meringankan hukuman dijatuhkan Jawatankuasa Tatatertib FAM, Mei lalu.

"Kami bukan sesuka hati menghukum mana-mana pihak, matlamat kami meningkatkan perkembangan bola sepak dan menarik lebih ramai penonton ke stadium. Bagi pihak jawatankuasa, hukuman bermain tanpa penonton terlalu berat dan kami membuat keputusan menarik balik hukuman itu dan berharap insiden itu menjadi pengajaran buat semua pihak.

"Yang penting, pihak FAM, persatuan bola sepak negeri dan stadium perlu mencari jalan terbaik untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi memastikan suar atau barangan larangan lain tidak dibawa masuk ke stadium.

"Kami mencadangkan CCTV (kamera litar tertutup) di pasang di lokasi tertentu di dalam stadium bagi mengawasi tindak tanduk penyokong," katanya kepada Arena Metro semalam.

Menerusi keputusan Jawatankuasa Tatatertib sebelum ini, PAFA didenda RM70,000 atas tiga tuduhan iaitu membakar suar, provokasi penyokong dan kegagalan tuan rumah menyediakan kawalan keselamatan sewajarnya pada perlawanan dengan Selangor.

Bagi kes kedua membabitkan Johor DT, PAFA turut dikenakan denda sama atas lima kesalahan, membakar mercun, pembakaran suar, penyokong agresif hingga seorang pengamal media cedera dan merosakkan kenderaan pihak Johor DT.

Ghanarajah mengesahkan Jawatankuasa Rayuan turut sebulat suara mengurangkan hukuman denda RM30,000 kepada RM15,000 kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) kerana kesalahan gagal menyediakan kawalan keselamatan mencukupi berhubung insiden kekecohan di dalam terowong Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lalu.

Menurut beliau, insiden itu sesuatu di luar jangkaan, namun pihak tuan rumah sebenarnya sudah menyediakan kawalan keselamatan mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:08 AM