MANGSA lemas yang ditemui berhampiran tebing sungai paya bakau berdekatan Taman Nilam, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Mayat lelaki ditemui terapung berhampiran tebing sungai paya bakau berdekatan Taman Nilam di sini, hari ini selepas dilaporkan hilang hampir 14 jam.

Mangsa, Ibrahim Abu, 27, dari Taman Nilam, di sini, ditemui 9.06 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menjalankan gerakan selepas menerima laporan kehilangan mangsa 7.25 malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, mayat mangsa ditemui pasukan SAR pada 9.06 pagi.

Katanya, operasi membabitkan tujuh anggota berserta masing-masing sebuah jentera dan bot aluminium dengan jentera pertama tiba di lokasi dalam tempoh 15 minit.

"Mayat mangsa ditemui terapung oleh pasukan SAR di tebing sungai paya bakau dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.

"Sejurus itu operasi SAR ditamatkan dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis pada jam 9.27 pagi untuk dihantar ke Hospital Langkawi," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 12:16 PM