BERNAMA

Padang Besar: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan 1.2 juta rakyat di negara ini yang layak mendapat lesen memandu, tidak mempunyai lesen itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Nadzri Siron berkata, JPJ giat mengadakan kempen bagi meningkatkan kesedaran masyarakat kepentingan memiliki lesen memandu kenderaan yang sah serta akan memastikan mereka mendapatkan lesen berkenaan.

"Belum dikenal pasti sama ada mereka ini langsung tidak mempunyai lesen kerana memang tidak mahu memandu, tidak memiliki kenderaan atau semata-mata bergantung kepada pengangkutan awam.

“Bagaimanapun bilangan mereka ini perlu dikesan puncanya agar tidak berlaku masalah keselamatan di jalan raya lebih-lebih lagi jika mereka memandu tanpa lesen," katanya di sini, hari ini.

Menurut Nadzri, ia selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya 2014-2020 yang menyasarkan pengurangan sehingga 50 peratus kadar kemalangan maut di negara ini dengan 62 peratus membabitkan kemalangan motosikal.

Mengikut statistik, 6,700 kemalangan maut direkodkan tahun lalu, dan bilangan itu membimbangkan, terutama 30 peratus daripada jumlah berkenaan membabitkan pelajar sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 7:30 PM