Rejab (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian 1,164 biji pil kuda yang dirampas di sebuah rumah di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Jeram Tekoh di sini pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Dua lelaki pengedar pil kuda ditahan dalam serbuan di rumah di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Jeram Tekoh, di sini, semalam.

Serbuan pada 2 petang itu, menemui sebanyak 1,164 pil kuda, satu gram dadah dipercayai jenis syabu, dua botol ubat batuk dan sebotol cecair air daun ketum yang bernilai RM25,830.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rejab Ahad Ismail berkata, hasil maklumat orang awam sepasukan anggota polis Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah menyerbu rumah dua lelaki berusia 26 dan 34 tahun.

"Kita percaya mereka sedang mengatur perjalanan untuk mengedar pil kuda di kawasan berkenaan kerana dalam keadaan mencurigakan.

"Dalam serbuan itu juga, kita turut merampas sebuah kereta dan motosikal yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua rampasan dan tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (1), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 9:16 PM