Penumpang dengan sebahagiannya jemaah haji turun dari pesawat dan gambar kanan, anggota komando mengiring juruterbang keluar. - Foto MIAA/EPA
Gambar oleh Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Manila (MIAA) menunjukkan anggota komandi dan SWAT mengepung pesawat. - Foto MIAA/AP
AP

Manila: Kesilapan juruterbang sebuah pesawat Saudi Arabian Airlines tertekan butang amaran berlakunya rampasan ketika ia menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di sini, menyebabkan pihak berkuasa menggerakkan pasukan komando dan memencilkan pesawat itu sebaik ia mendarat.

Pengurus lapangan terbang, Eddie Monreal berkata, Penerbangan SV872 dari Jeddah memberi isyarat kecemasan itu kira-kira 32 kilometer menghampiri lapangan terbang menyebabkan pihak berkuasa meminta pengesahan mengenai isyarat kecemasan itu dan kru penerbangan mengesahkannya sebanyak dua kali.

Bagaimanapun, kapten pesawat itu tidak memberitahu menara kawalan bahawa butang rampasan itu ditekan secara tidak sengaja sehinggalah pesawat mendarat.

Menurut Monreal, pesawat Boeing 777 itu diarah ke kawasan terpencil selepas mendarat dan anggota komando mengepung pesawat berkenaan menyebabkan penumpang panik kerana mereka tidak tahu apa yang berlaku.

Selepas yakin tiada rampasan barulah penumpang dibenarkan turun, dengan ramai berpakaian serba putih, menunjukkan mereka jemaah haji yang pulang dari Makkah.

Monreal berkata, pesawat itu membawa 410 penumpang dan 21 anak kapal.

Dalam kenyataannya, Setiausaha Rendah Penerbangan di Jabatan Pengangkutan, Roberto Lim berkata, polis masih menyiasat punca isyarat ‘rampasan pesawat’ dikeluarkan juruterbang.

“Polis akan menyoal siasat juruterbang itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 10:56 PM