GRACE
GRACE
Georgie Joseph


Juara program pencarian bakat paling berprestij dunia, America’s Got Talent 2016 (AGT2016), Grace Vanderwaal terus-menerus menerima reaksi luar biasa daripada nama besar termasuk Taylor Swift.

Grace, 12, berjaya mencipta fenomena apabila bakat penyanyi dan penulis lagu berkenaan menawan hati rakyat Amerika Syarikat (AS). Bahkan, sewaktu uji bakat pertamanya pun dia sudah dijangka mampu memenangi pertandingan itu.

Seorang daripada juri rancangan berkenaan, Simon Cowell juga menyifatkan dia mempunyai aura seperti penyanyi hebat Taylor Swift.

Kesinambungan itu, Taylor sendiri nampaknya sangat setuju dengan perbandingan terbabit apabila memberikan kejutan kepada Grace, baru-baru ini. Penyanyi Shake If Off itu menghantarnya sejambak bunga berserta ucapan tahniah.

Semestinya sesuatu yang cukup bermakna buat dirinya, Grace jelas tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya.

“Tiada kata-kata mampu saya ungkap betapa bersyukurnya menerima semua ini. Terima kasih banyak-banyak Taylor Swift,” katanya di Twitter.

Lebih menarik, penyanyi yang bermain ukulele itu rupanya peminat tegar kepada penyanyi terkenal yang juga musuh kepada Taylor iaitu Katy Perry. Bahkan, dia mengakui banyak mendapat inspirasi daripada penyanyi Roar berkenaan.

“Tidaklah banyak mana pun, namun sebagai manusia, saya perlu katakan Katy Perry paling memberi inspirasi kepada saya kerana dia individu yang jujur dan menjadi diri sendiri.

“Dia hanya fokuskan kepada muziknya, malah mengalahkan produser hebat lain. Sepanjang kariernya muziknya, dia kekal jujur menjadi dirinya dan saya mahu jadi seperti dia,” katanya kepada majalah terkenal.

Ternyata, kemenangannya turut menerima reaksi Katy sendiri yang bahkan sempat memberikan nasihat.

“Tahniah! Kamu ada bakat itu. Jagalah ia dan terus menyanyi serta menulis. Ia pasti akan sentiasa memuaskan kamu,” katanya.

Bukan Taylor dan Katy saja, ramai lagi artis besar lain menghujani penyanyi muda itu dengan ucapan tahniah termasuk Ellen DeGeneres, Reese Witherspoon, Jason Mraz dan Hery Winkler.

Buat Simon pula, selain membandingkan Grace dengan Taylor, kemenangan itu benar-benar menggamit semula kenangan 14 tahun lalu menerusi program American Idol.

“Saat kemenangan itu mengingatkan saya kepada kemenangan Kelly Clarkson. Kamu masih ingat bila pengacara menyebut ‘dan pemenangnya adalah Kelly Clarkson?’, begitulah perasaan saya apabila namanya disebut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 8:13 AM