PENGUATKUASA JKM menyita taska di Paka, Dungun. FOTO Rosli Ilham
PENGUATKUASA JKM menyita taska di Paka, Dungun. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Dungun: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)menyita sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Paka, di sini, semalam kerana tidak berdaftar dengan agensi itu.

Pemangku Pengarah JKM Terengganu Rusmi Mahmood berkata, pengusaha taska terbabit gagal mengemukakan dokumen daripada JKM dalam operasi yang dijalankan kira-kira 4 petang.

Beliau berkata, taska yang beroperasi sejak lima bulan lalu itu juga gagal mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Dungun.

"Sebelum ini, kita sudah mengeluarkan notis agar pengusahanya mematuhi syarat ditetapkan tetapi dia gagal berbuat demikian.

"Taska ini akan disita selama 21 hari dan pengusaha terbabit yang juga wanita berusia 40-an dikehendaki mengemukakan perakuan pendaftaran yang sah dalam tempoh itu kepada Ketua Pengarah atau pegawai yang berkenaan sebelum dibenarkan beroperasi semula.

"Taska berkenaan dikenakan mengikut Seksyen 20A (1) Akta Taman Asuhan kanak-Kanak 1984 (pindaan) 2007," katanya.

Rusmi berkata, pihaknya turut mengesan sembilan taska di daerah ini yang masih belum berdaftar dengan JKM.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya mengeluarkan notis supaya pengusahanya menyediakan dokumen dan mematuhi syarat ditetapkan jika tidak mahu disita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 9:59 AM