Idris tidak mahu mengeruhkan keadaan. FOTO fail NSTP
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Selepas pelakon Atikah Suhaimie menafikan gambar bogel miripnya dengan seorang lagi pelakon, Idris Khan yang tersebar sejak minggu lalu itu adalah dirinya, Idris pula terus mengelak untuk menjawab isu berkenaan.

Idris, 28, ketika dihubungi enggan memberi sebarang kenyataan atas nasihat peguamnya.

“Maaf, saya tidak mahu komen. Memandangkan perkara ini masih dalam siasatan jadi saya tak nak mengeruhkan lagi keadaan sekiranya terdapat kenyataan daripada saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Ketika diminta untuk mengulas kenyataan Atikah, semalam yang menafikan dia terbabit dalam gambar itu, Idris tetap bertegas tidak mahu memberikan sebarang jawapan.

“Maaf, kalau ada sebarang perkembangan, saya akan maklumkan,” katanya

Atikah ketika disoal wartawan semalam menafikan dia adalah wanita dalam gambar itu.

Menurut Atikah, sejak gambar itu tersebar, dia langsung tidak berhubung dengan Idris.

Difahamkan, gambar itu diambil pada tahun lalu dan ia turut mengaitkan seorang lagi pelakon iaitu Ammar Alfian namun mereka menafikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 4:42 PM