Anggota PPM bersama kru bot nelayan yang ditahan. FOTO ihsan PPM
Mohd Sabran Md Sani


Kota Tinggi: Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang Wilayah 2 menahan tiga bot pukat tunda nelayan tempatan selepas didapati menceroboh kawasan menangkap ikan yang terletak kurang dari 12 batu nautika seperti syarat lesen dalam Op Gelora, semalam.

Timbalan Komander PPM Wilayah 2, Superintendan Saari Ariffin berkata tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 9.30 malam di lokasi 8.16 batu nautika dari perairan Tanjung Tebal, Kuala Sedili Besar dekat sini.

"Tangkapan pertama dilakukan ketika bot tunda tempatan kelas B bersama empat kru sedang beroperasi 8.16 batu nautika dari pantai Tanjung Tebal Kuala Sedili Besar.

"Ia kemudian disusuli tangkapan kedua sebuah lagi bot nelayan tempatan kelas B bersama lima kru warga tempatan sedang beroperasi di lokasi 7.2 batu nautika dari Pantai Tenggara Kuala Sedili kerana melakukan kesalahan menunda kurang dari 12 batu nautika," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, antara kesalahan dilakukan dalam tangkapan kedua adalah pemilik tidak usahakan sendiri dan tekong bot menggunakan lesen atau permit orang lain.

"Manakala tangkapan ketiga dilakukan pada jam 9.55 malam ke atas sebuah lagi bot nelayan tempatan kelas B bersama empat kru warga tempatan di kawasan 8.16 batu nautika di Pantai Tanjung Sedili Besar Kuala Sedili.

"Semua bot ditahan kerana melakukan kesalahan yang sama bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen atau menceroboh kawasan bawah 12 batu nautika.

Berikutan itu kes diserahkan kepada Jabatan Perikanan Johor untuk siasatan lanjut.

"PPM akan sentiasa menjalankan rondaan untuk memelihara sumber perikanan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 8:03 PM