NURUL Aida bersama produk kecantikan jenamanya.
Hajahfarhana Tarmudi


Kurang yakin dan bimbang menggunakan produk penjagaan wajah sepanjang kehamilan membuatkan segelintir ibu hamil atau menyusu tidak tahu cara sesuai menjaga kecantikan kulit.

Jika mempunyai kulit bersih, berseri dan sihat sepanjang kehamilan, ia satu anugerah. Namun, jika perubahan hormon akibat kehamilan menyebabkan kulit bermasalah seperti tumbuh jerawat, jeragat atau kulit kusam, ia sesuatu yang membimbangkan.

Nurul Aida Mohd Razali, 37, sememangnya memahami kebimbangan segelintir ibu hamil yang mengalami masalah kulit terutama di bahagian wajah ketika hamil.

Dia sendiri pernah mengalami masalah sama setiap kali mengandung dan ia sedikit sebanyak menimbulkan rasa malu serta kurang keyakinan diri.

Pengasas produk penjagaan kecantikan wajah khusus untuk ibu hamil dan menyusu, Mamaglows ini mengakui, pengalamannya itu mencetus idea untuk membantu wanita menghadapi situasi berkenaan dengan lebih baik.

“Ada wanita yang mengalami masalah kulit terlebih sensitif ketika hamil hingga menimbulkan rasa tidak selesa kepada mereka.

“Kebanyakan produk penjagaan wajah pula mengandungi bahan kimia yang jika diambil boleh menimbulkan keradangan kulit kepada wanita hamil.

“Antara bahan kimia berbahaya perlu dielakkan yang terdapat dalam produk penjagaan wajah ialah merkuri, hidrokuinon, asid salisilik, retinoid (vitamin A), benzoyl peroxide, paraben, SLS serta SLES.

“Bukan hanya memberi masalah kepada kulit, malah jika diambil secara berlebihan boleh memberi kesan buruk kepada bayi dalam kandungan,” katanya.

Justeru, ibu hamil perlu mengambil tahu mengenai kandungan bahan di dalam produk kecantikan yang digunakan bagi mengelakkan kesan buruk berlaku kepada diri sendiri dan janin.

Pengalaman sendiri

Nurul Aida yang memiliki tiga cahaya mata mengakui sepanjang kehamilan mengalami masalah kulit yang berpanjangan hingga terpaksa berjumpa doktor dan pakar kulit untuk merawatnya.

“Setiap kali hamil bermula daripada anak pertama hingga ketiga, kulit saya menjadi terlalu sensitif hingga perlu berjumpa doktor.

“Kulit menjadi kusam, sembap dan ditumbuhi jerawat berbanding jika tidak berbadan dua. Memang pakar menyarankan supaya saya tidak menggunakan produk penjagaan wajah yang mengandungi bahan kimia.

“Namun, tidak pula saya temui produk yang sesuai. Produk tanpa bahan kimia yang disebut doktor hanya boleh diperoleh secara dalam talian dan kebanyakannya banyak dijual di Australia, Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya.

Ketika mengandungkan anak ketiga, tercetus idea untuk menghasilkan produk sendiri bagi membantu wanita hamil mendapatkan rangkaian penjagaan wajah yang selamat apatah lagi ketika itu dia bergelar suri rumah.

Namun, sebelum itu dia banyak membuat kajian dan rujukan bersama doktor dan pakar kulit selama setahun bagi memastikan setiap wanita yang memakainya mendapat manfaat diinginkan.

Idea mencipta produk kecantikan untuk ibu hamil dan menyusu menggunakan bahan yang lembut serta efektif memberi pilihan kepada wanita untuk menjaga kulit mereka.

Baginya, berita gembira apabila disahkan hamil tidak harus diakhiri dengan kebimbangan dan rasa kurang yakin akibat masalah kulit yang teruk.

“Memahami keadaan wanita yang sibuk dengan kerja atau menghayati saat hamil, letih dan pelbagai perasaan lain, wanita ini mencipta produk yang ringkas serta mudah digunakan.

“Dalam rangkaian berkenaan, hanya ada dua produk iaitu pencuci dan serum. Pencuci dicipta dengan penggunaan bahan semula jadi seperti lemon, aloe vera dan minyak zaitun.

“Serum pula ada semua kelebihan yang bertindak sebagai merawat kulit, melembap dan melindunginya daripada sinaran terik cahaya matahari yang berbahaya,” katanya.

Rangkaian penjagaan wajah dijual secara dalam talian yang boleh didapati di laman Facebook atau Instagram itu mula diperkenalkan pada Mei lalu.

Ujarnya, doktor menyarankan wanita hamil menggunakan pelembap kerana ketika mengandung kebanyakannya boleh mengalami masalah kulit kering terutama bagi individu yang tidak mengambil air kosong mencukupi.

Justeru, dia memberi fokus kepada bahan yang boleh membantu melembapkan kulit seperti penggunaan tomato dan minyak argan.

Cabaran usahawan kosmetik

Di sebalik mahu membantu wanita hamil dan menyusu menjaga kecantikan kulit, dia turut mengakui ada cabaran menanti dalam perniagaan yang baru diceburinya itu.

“Sebagai seorang peniaga wanita baru dalam bidang kecantikan, banyak cabaran yang perlu saya lalui. Industri produk kecantikan terutama dalam talian semakin berkembang pesat, bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

“Antaranya, saya perlu berfikir secara kreatif mengenai cara untuk membezakan jenama dan produk yang diperkenalkan di pasaran. Justeru, saya banyak menekankan keunikan produk ini yang dirumus khas untuk ibu hamil serta menyusu, mudah dan menjimatkan masa,” katanya.

Ujarnya, untuk perniagaan dalam talian, dia perlu sentiasa mengambil tahu mengenai perkembangan terkini teknik dan kaedah pemasaran supaya tidak ketinggalan jauh.

Bagi memastikan perkara berkenaan sentiasa dalam pemantauan, jenama berkenaan mempunyai pakar dalam talian yang membantu melancarkan perniagaan.

Pada masa sama, ada cabaran besar yang perlu dihadapi iaitu membina keyakinan pelanggan terhadap produk keluaran jenama yang masih baru di pasaran.

Namun, saya percaya pelanggan hari ini semakin bijak membuat pilihan untuk membeli produk kecantikan yang diinginkan dan sesuai dengan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 5:42 AM