KERETA terbabas melanggar tiang elektrik dan pokok. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


Kluang: Lelaki maut manakala dua rakannya parah selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Jalan Felda Bukit Permai dekat Layang-Layang di Renggam di sini, 5.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Muhamad Laham berkata, Mazman Salim, 27, yang duduk di bahagian penumpang belakang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, rakan mangsa yang juga pemandu kereta itu, Zulhilmi Mohd Ali, 28, dan penumpang hadapan, Mohd Saiful Rosalan, 28, turut parah dan kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHKK) Kluang.

"Kejadian berlaku dikatakan berpunca daripada kegagalan pemandu kenderaan mengawal kereta sebelum terbabas dan melanggar tiang eletrik serta pokok.

"Ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Felda Bukit Permai daripada Pekan Layang-Layang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 1:02 PM