ADI Azuan (dua kiri) menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada isteri Allahyarham Harun Juhari, Sutini Sulaiman (dua kanan). Turut hadir, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Noh Gadot (kanan) dan Pengarah Tabung Haji Negeri Johor, Datuk Mokhzani Mukhtar (kiri). FOTO Syarafiq Abd Samad
Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Kos yang perlu dibayar jemaah haji masih kekal biarpun jumlah subsidi ditanggung Lembaga Tabung Haji (TH) bagi setiap jemaah dijangka meningkat sekitar 10 hingga 20 peratus pada musim haji tahun hadapan.

Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani berkata, peningkatan subsidi itu berikutan kenaikan kos sebenar haji bagi tujuan penginapan dan penerbangan yang meningkat setiap tahun.

Menurutnya, setakat ini setiap jemaah membayar RM9,980 manakala TH menanggung subsidi sebanyak RM8,910 bagi setiap jemaah.

"Kos keseluruhan haji dijangka meningkat. Kos yang akan dibayar jemaah setakat ini, tiada perubahan," katanya pada sidang media selepas menziarahi keluarga jemaah haji yang meninggal dunia di Makkah, Allahyarham Harun Juhari, 75, di Taman Suria, Ayer Hitam di sini, hari ini.

Menurutnya, 18,910 jemaah haji masih berada di tanah suci dan menunggu tarikh penerbangan pulang sebelum penerbangan terakhir dijangka pada 15 Oktober depan.

Menurutnya, hingga kini 3,766 jemaah serta 80 petugas haji selamat tiba ke tanah air manakala lebih 400 petugas daripada Tabung Haji dan Kementerian Kesihatan masih berada di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 4:38 PM