Bomba Bagan Serai mengambil masa 10 minit untuk memotong cincin pada jari remaja 15 tahun. - Foto SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Bomba Bagan Serai mengambil masa 10 minit untuk memotong cincin pada jari remaja 15 tahun. - Foto SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
BERNAMA

Bagan Serai: Pasukan bomba dan penyelamat terpaksa membantu menanggalkan cincin pada jari manis seorang remaja lelaki yang melekat semalaman.

Remaja berusia 15 tahun dari Kampung Alor Singa itu dibawa ke balai bomba di sini, selepas ikhtiar menanggalkan cincin yang baru dibeli dan dipakai itu gagal dilakukan keluarganya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Abdul Nasir Jalil berkata, pihaknya mendapati jari manis tangan kiri remaja itu membengkak.

"Kami menggunakan alat pemotong khas dan mengambil masa 10 minit untuk memotong cincin itu," katanya.

Beliau berkata bapa remaja itu mencuba pelbagai cara untuk menanggalkan cincin berkenaan, termasuk melumur jari anaknya dengan minyak dan sabun, namun cincin itu tetap gagal ditanggalkan.

Difahamkan cincin besi itu dibeli dengan harga RM5.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 6:29 PM