MUNZIR (kiri), wakil guru Nor Man Fu'ad dan Shahrul bersama sepanduk program Bandar Seri Putra Charity Run 2016.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM17,000 menanti peserta larian Bandar Seri Putra Charity Run 2016 yang dijadualkan berlangsung di Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor pada 6 November ini.

Pengarah Projek Shahrul Azuan Shahruddin berkata larian amal berkenaan adalah inisiatif bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Seri Putra dan Persatuan Kembara Negara (PKN).

“Larian amal ini bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bandar Seri Putra bagi kegunaan aktiviti murid sekolah itu sepanjang tahun.

“Kita menyasarkan kutipan dana RM50,000 menerusi penganjuran acara ini. Ia adalah acara larian pertama dianjurkan di kawasan Bandar Seri Putra, justeru itu kita mengalu-alukan penyertaan daripada orang ramai terutamanya komuniti setempat dan penggemar acara larian bagi menjayakan program amal ini,” katanya.

Menurut Shahrul Azuan, ia bukan sekadar untuk menguji kemampuan berlumba dan amalan gaya hidup sihat, tetapi juga demi kebajikan anak-anak yang bersekolah di sekolah berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Projek Bersama Munzir Alawi berkata penganjur menyasarkan dapat menarik penyertaan kira-kira 2,000 orang bagi larian amal itu.

“Sehingga ini, kami sudah menerima hampir 1,000 penyertaan dan berharap lebih ramai lagi akan menyertainya sebelum tarikh tutup penyertaan pada 22 Oktober ini.

“Peserta berdaftar akan menerima satu baju-T, sijil serta medal tamat larian. Kami juga mengalu-alukan sokongan badan korporat untuk menaja program larian amal ini,” katanya sambil menambah akhbar nombor satu negara, Harian Metro sebagai rakan media rasmi.

Larian amal berkenaan mempertaruhkan tujuh kategori iaitu terbuka lelaki dan wanita bermula daripada usia 18 tahun ke atas, lelaki veteran (40 tahun ke atas) dan wanita veteran (35 tahun ke atas) bagi larian sejauh 12 kilometer (km); Fun Run (terbuka-7km), kanak-kanak lelaki dan perempuan 4km (tujuh hingga 12 tahun).

Mereka yang ingin menyertai larian amal ini boleh membuat pendaftaran secara atas talian menerusi alamat www.howei.com atau maklumat lanjut boleh menghubungi talian 013-3507040 dan 012-6964345.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 10:56 AM