PAKAIAN yang terkena minyak dan kotoran sukar dibersihkan akan 'dimasak' dalam periuk khas selama 15 minit.
PAKAIAN yang terkena minyak dan kotoran sukar dibersihkan akan 'dimasak' dalam periuk khas selama 15 minit.
RUTIN harian Nithaya ialah melibas kain yang dicuci ke para simen bagi memastikan kotoran degil dapat dibersihkan.
RUTIN harian Nithaya ialah melibas kain yang dicuci ke para simen bagi memastikan kotoran degil dapat dibersihkan.
SELUAPACKIAM membantu menjemur pakaian yang sudah dibersihkan suaminya.
SELUAPACKIAM membantu menjemur pakaian yang sudah dibersihkan suaminya.
KRISHAN membantu menggosok pakaian yang sudah kering.
KRISHAN membantu menggosok pakaian yang sudah kering.
NITHAYA menggunakan cecair peluntur khas untk memastikan kotoran degil dapat dibersihkan.
NITHAYA menggunakan cecair peluntur khas untk memastikan kotoran degil dapat dibersihkan.
MENUNJUKKAN baju putih yang dicuci secara manual membuatkan warnanya lebih berkilat berbanding pakaian dibasuh menggunakan mesin.
MENUNJUKKAN baju putih yang dicuci secara manual membuatkan warnanya lebih berkilat berbanding pakaian dibasuh menggunakan mesin.
NITHAYA menunjukkan koleksi seterika berusia 20 tahun miliknya.
NITHAYA menunjukkan koleksi seterika berusia 20 tahun miliknya.
Muhamad Izzat Nasuruden


Kewujudan dobi layan diri berkonsep 24 jam hampir di setiap bandar dan taman perumahan di seluruh negara mendapat sambutan positif.

Keseluruhan operasi dobi berkenaan menggunakan teknologi moden seperti mesin basuh dan mesin pengering bagi memenuhi keperluan pelanggan.

Mereka yang tidak berkelapangan kerana sibuk pula masih boleh menggunakan perkhidmatan dobi sama ada cucian basah dan kering.

Namun, di sebalik peredaran zaman, seorang lelaki di Teluk Kurin A, Ipoh, masih menyediakan khidmat dobi secara tradisional yang turut dikenali sebagai dobi walla iaitu mencuci pakaian menggunakan tulang empat kerat.

A Nithaya Nathan, 60 , berkata, dia menjalankan perkhidmatan itu sejak 34 tahun lalu selepas mewarisi teknik mencuci pakaian daripada mendiang bapanya yang menjalankan perniagaan itu bagi menyara keluarga.

Katanya, masih ada pelanggan mendapatkan khidmat mencuci pakaian disediakannya walaupun kewujudan dobi moden yang tumbuh bak cendawan di bandar raya itu.

“Kebanyakan yang menggunakan khidmat saya ialah pelanggan tetap atau kenalan kepada pelanggan terdahulu.

“Mereka menggunakan khidmat saya kerana kualiti. Pakaian yang kami terima akan dicuci dengan teliti menggunakan beberapa teknik khas terutama merebus baju,” katanya.

Nithaya berkata, teknik ‘memasak’ baju digunakan bagi memastikan kotoran degil pada pakaian seperti percikan minyak dapat dibersihkan tanpa meninggalkan sebarang kesan.

Bapa kepada empat cahaya mata ini berkata, kebanyakan pakaian yang perlu direbus dihantar pekerja bengkel membaiki kenderaan, pekerja katering dan buruh binaan.

“Setiap pakaian yang mempunyai kotoran degil akan direbus selama 15 hingga 20 minit di dalam kawah yang saya bina sendiri.

“Saya menggunakan beberapa bahan pencuci khas dalam air rebusan berkenaan. Ia akan direndam dalam air biasa selama satu malam,” katanya.

Nithaya berkata, keesokannya dia akan memberus pakaian yang direndam itu pada waktu tengah hari dan setiap pakaian yang siap dicuci akan terus dijemur bagi memastikan wangiannya kekal lama.

Katanya, setiap pakaian akan dijemur antara sejam hingga dua jam mengikut keadaan cuaca. Selepas kering sepenuhnya, pakaian itu akan terus digosok menggunakan seterika antik miliknya.

“Saya ada beberapa seterika yang diwarisi daripada mendiang bapa dan kebanyakannya berusia lebih 30 tahun. Selain itu, saya juga ada sebuah seterika khas menggunakan arang sebagai bahan bakar.

“Seterika antik ini lebih berat berbanding seterika moden sekarang. Seterika yang berat ini memberi kesan lebih baik untuk menghilangkan kedutan pada pakaian,” katanya.

Menurut Nithaya, dia kini menerima sekitar 50 pasang pakaian sehari daripada pelanggan berbanding 150 pasang, lapan tahun.

Katanya, arus permodenan sedikit sebanyak menghakis pendapatannya yang kini sekitar RM2,000 sebulan berbanding lebih RM3,000 sebelum ini.

“Kebanyakan orang mahu pakaian mereka dicuci secara ekspres, namun kualiti kebersihannya agak rendah kerana mesin tidak mampu mencuci dengan teliti berbanding manusia.

“Campuran bahan pencuci juga perlu betul dan tepat bagi memastikan pakaian tidak rosak manakala pakaian putih boleh menjadi lebih berseri walaupun terkena minyak hitam,” katanya.

Nithaya berkata, dia menggunakan tiga jenis bahan pencuci dan dua jenis berus setiap kali membasuh pakaian yang dihantar pelanggan.

Katanya, berus yang mempunyai bilah lembut akan digunakan untuk membersihkan kain jenis lembut manakala berus kasar digunakan untuk membersihkan kain kasar.

Menurutnya, kebanyakan pelanggannya yang terdiri daripada kaum India menghantar kain sari dan veti berkualiti tinggi dan memerlukan ketelitian ketika dicuci bagi mengelakkannya rosak.

“Kebanyakan sari dan veti diperbuat daripada sutera dan ada antaranya bernilai ribuan ringgit.

“Selain jenis kain yang sensitif, saya juga perlu mencuci pakaian pelanggan yang ada sulaman batu atau manik dengan berhati-hati. Jika salah teknik, batu atau manik ini boleh tercabut,” katanya.

Menurut Nithaya, dia mengenakan caj sekitar RM1.50 hingga RM3 untuk sehelai pakaian biasa mengikut tahap kotoran, manakala RM6 hingga RM8 untuk sehelai pakaian diperbuat daripada bahan berkualiti atau disulam dengan batu dan manik.

Nithiya menjalakan perniagaan dobi tradisional itu dengan bantuan isterinya P Seluapackiam, 54, serta seorang rakan S Krishnan, 70.

Seluapackiam pula berkata, dia membantu suaminya menguruskan buku catatan kewangan selain menjemur pakaian yang dicuci.

Katanya, dia berbangga kerana berkat kegigihan suaminya yang hanya bekerja sebagai pencuci pakaian mampu menyara empat anak mereka ke pusat pengajian tinggi.

Sementara itu, Krishnan berkata, dia berterima kasih kepada Nithiya kerana memberi peluang pekerjaan kepadanya walaupun sudah berusia.

Katanya, dia melakukan tugas menggosok pakaian yang sudah kering serta melipatkannya di atas rak disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 12:40 PM