IHSAN Polis Diraja Malaysia
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Tiga laporan polis diterima berhubung perbuatan khianat baling batu dari jejantas di kilometer 40.6 lebuh raya Utara-Selatan (NSE) arah utara, antara pekan Jitra ke Bukit Pinang, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata siasatan pihaknya mendapati kejadian berlaku antara 10.30 sehingga 10.45 malam, dua hari lalu.

Menurutnya, tiga mangsa itu membabitkan dua lelaki dan wanita berusia antara 31 hingga 42 tahun yang tampil membuat laporan polis selepas kenderaan masing-masing mengalami kerosakan.

"Mazda milik wanita itu mengalami kerosakan di bumbung dan cermin hadapan pecah manakala kereta lelaki iaitu Mitsubishi Triton rosak di bonet depan, cermin dan bumper depan.

“Toyota Vios dipandu seorang lagi lelaki rosak di bahagian lampu depan dan bumper hadapan kemek.

"Siasatan awal mendapati dua ketul batu besar dibuang dari atas jejantas itu menyebabkan ketiga-tiga kenderaan yang melalui kawasan itu mengalami kerosakan," katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan tadi.

Mohd Rozi berkata, balingan pertama terkena pada Mazda wanita terbabit yang jatuh di atas bumbung sehingga cermin hadapan pecah sebelum batu itu masuk ke dalam keretanya.

"Balingan kedua pula terkena Mitsubishi Triton menyebabakan bumper hadapan rosak sebelum Toyota Vios yang datang dari arah sama tidak sempat menggelak batu yang berada di atas jalan dan melanggarnya.

"Semakan juga mendapati kes ini adalah yang pertama dilaporkan pada tahun ini dan kita sedang mengesan suspek,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 10:03 PM