ELVINA tak tolak rezeki namun bimbang dijangkiti demam populariti.

Belum sampai dua tahun bergiat dalam dunia lakonan, Elvina Mohamad, 21, mula disinari dunia glamor. Bukan saja namanya mulai disebut malah rezeki dalam bidang ini turut mencurah-curah.

Selepas berjaya mencuri pandangan produser melalui watak pembantu dalam drama Cinta Si Wedding Planner, Elvina diberi kepercayaan memegang watak utama dalam drama bersiri Mariam Alisa.

Gadis berdarah campuran Siam dan Melayu ini mengakui namanya naik terlalu cepat kerana baru dua tahun dalam industri sudah diberi peluang memegang watak utama.

Dengan merendah diri, Elvina mengganggap perkara itu sebagai rezeki dan peluang, sekali gus cuba belajar daripada pengalaman.

Gadis kelahiran Ipoh, Perak ini berkata, risikonya tetap ada bimbang dijangkiti demam populariti yang sering terjadi dalam kalangan pelakon baharu kian dikenali.

“Saat awal diberi pelbagai peluang dalam industri, saya bimbang akan dijangkiti demam populariti tapi saya percaya dengan sifat rendah diri dan muhasabah diri, perkara itu dapat ditepis.

“Saya selalu cakap pada diri, kena kekal rendah diri. Lagipun sejak di bawah pengurusan Mind Order Sdn Bhd, mereka sering mengingatkan saya perkara ini.

“Pihak pengurusan mempunyai latar belakang kuat dalam bidang media dan mereka tahu apa yang mereka lakukan untuk saya,” katanya.

Elvina atau Norazlina Mohamad gembira kerana sejak ada pengurusan, jadual seninya lebih tersusun. Tanpa berselindung, dia pernah ditawarkan berada di bawah pelbagai syarikat pengurusan termasuk daripada orang perseorangan yang mahu mengurusnya.

Tapi disebabkan tidak yakin, dia menolak tawaran daripada mereka. Antara sebab dia tidak yakin kerana mereka tidak mempunyai jadual dan pejabat bagi pengurusan artis.

Selain menjadi sebutan peminat drama televisyen tempatan, dia bakal muncul melalui filem pertama, Mat Motor Otai arahan Ahmad Idham yang bakal ditayangkan pada 6 Oktober depan. Elvina juga bakal muncul dalam telefilem Mungkin untuk RTM tidak lama lagi.

Dalam Mat Motor Otai, Elvina memegang watak Hanna, remaja liar yang mencari keseronokan melalui pergaulan dengan remaja liar lain.

“Saya berlakon sebagai anak Datuk Eizlan Yusof. Syukur sebab dapat tunjuk ajar daripada pelakon lama lain. Tidak dinafikan saya berdebar menantikan filem pertama ini sebab sebelum ini banyak berlakon untuk telefilem dan drama.

“Peluang ini buatkan saya terfikir, bolehkah saya berlakon dalam filem yang pasti mempunyai permainan lakonan berbeza. Tapi apabila masuk set, mereka (pelakon lama) bagi tunjuk ajar. Kalau tak faham, tanya,” katanya.

Dalam pada itu, dia kini sibuk menjalani penggambaran filem Zombitopia arahan Woo Min Jing. Melalui filem itu, sekali lagi dia memegang watak utama berpasangan dengan pelakon hebat, Bront Palarae dan Shaheizy Sam.

Elvina akui benar-benar gementar sebab berganding dengan pelakon hebat terutama Bront yang turut dikenali di luar Malaysia.

“Tipulah kalau saya kata tak takut. Tapi mujur dapat wujudkan keserasian dalam lakonan. Itupun kerana kami sering adakan latihan bersama,” katanya.

Dalam diam, Elvina turut ditawarkan menyanyi oleh syarikat pengurusannya. Bagaimanapun, kata Elvina, dia mahu membuktikan kemampuannya dalam bidang lakonan terlebih dahulu sebelum terjun ke bidang nyanyian.

“Sebagai anak seni, dia perlu memberi peluang kepada diri sendiri untuk membuktikan kemampuan. Apa sekalipun, saya kena fokus pada lakonan terlebih dahulu. Bimbang yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 5:05 AM