Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) melengkapkan aksi terakhir di laman sendiri dengan rekod tanpa kalah sepanjang musim ini selepas membelasah T-Team 5-1 pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.

Kini skuad kendalian Mario Gomez mengintai satu lagi sejarah untuk muncul satu-satunya pasukan yang mengekalkan rekod tanpa tewas apabila menentang Selangor di Stadium Shah Alam, pada 22 Oktober ini.

Seawal minit pertama, pelawat mengancam kubu tuan rumah selepas larian pantas Mohd Safawi Rased yang mengumpan bola tepat kepada Mohd Syuhiran Zainal untuk menolak tepat ke pintu namun sempat dikeluarkan Junior Eldstal ketika penjaga gol, Farizal Marlias sudah tertewas.

Tersentak dengan serangan mengejut itu, skuad kendalian Mario Gomez kembali mengemaskan serangan dan pada minit keempat bola rembatan deras kapten Amri Yahyah memaksa penjaga gol, Muhd Ilham Amirullah Razali merebahkan badan untuk menepis bola.

Namun selang dua minit kemudian tuan rumah berjaya menjaringkan gol selepas sepakan lintang Muhd Fazly Mazlan tepat kepada Amirul Hadi Zainal yang menerkam untuk menanduk masuk bagi menewaskan Muhd Ilham Amirullah.

Ketika aksi memasuki minit ke-26, skuad Harimau Selatan mengganas lagi dengan menambah duka skuad kendalian Rachmat Darmawan apabila sepakan lintang S Chanthuru ditanduk kemas Juan Martin Lucero untuk meletak tuan rumah selesa mendahului 2-0.

Lucero melengkapkan gol ke-15 peribadi sepanjang saingan liga apabila meledak jaringan pada minit ke-34 yang berpunca daripada sepakan Amri yang terbias selepas Muhd Ilham Amirullah gagal menangkap bola kemas.

Berbaki dua minit untuk ditamatkan aksi separuh masa pertama, pelawat meraih gol sulung selepas Patrick Cruz bijak memperdayakan Junior sebelum melencongkan bola bagi memerangkap Farizal.

Malang buat pelawat apabila menghasilkan gol sendiri pada minit terakhir babak pertama selepas sepakan lintang Chanthuru menyaksikan Abdoulaye Maiga tertendang ke gawang sendiri.

Tindakan Ahmad Takiyuddin Roslan menjatuhkan Jorge Pereyra Diaz dalam kotak penalti menyaksikan pengadil, Zulkfili Ahmad tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-55 namun Lucero gagal melakukan penyudah yang diselamatkan Muhd Ilham Amirullah.

Namun Lucero memadam kesilapan itu dengan menjaringkan gol pada minit ke-60 untuk melakar hatrik pada perlawanan itu hasil berlaku kekalutan dalam kotak penalti apabila dia mudah menewaskan Muhd Ilham Amirullah bagi melengkap malam gemilang Harimau Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 5:11 AM