SEORANG tenaga pengajar menerangkan kaedah digunakan.
SEORANG tenaga pengajar menerangkan kaedah digunakan.
SESI interaksi tenaga pengajar dengan peserta secara santai.
PESERTA bersama tenaga pengajar selepas program berakhir.
Syarimie Wosley


Seramai 120 pelajar SMK Panji, SMK Sering dan peserta Empower ECER menyertai English Camp anjuran Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) dan Fulbright English Teaching Assistant (ETA) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, baru-baru ini.

Bagi menjayakan program sehari itu, 10 pembantu guru Bahasa Inggeris (ETA) daripada 100 siswazah muda dari Amerika Syarikat yang ditempatkan di negara ini turut terbabit membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar sekolah terbabit.

Program ETA Fulbright dikendalikan bersama Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) dan Kementerian Pendidikan.

Program ini antara usaha membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan pelajar di Malaysia selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat & Pengurusan Kualiti) Prof Rosdi Abd Rahman berkata, selain aktiviti dalam kelas pendidikan khas, program itu juga dilaksanakan dengan cara tersendiri untuk menarik perhatian pelajar menguasai bahasa Inggeris menerusi aspek pertuturan.

Menurutnya, program ini menggunakan pendekatan Fun Learning (keseronokan sambil belajar) dengan aktiviti kokurikulum secara berkumpulan untuk meningkatkan keyakinan diri dan pengetahuan.

“Seramai 10 guru ETA yang ditempatkan di sekolah terpilih di negeri ini menjadi pembimbing pelajar termasuk tingkatan satu dan kelas pendidikan khas bagi membantu mereka meningkatkan kemahiran pertuturan.

“Diharap program ini dapat memberi impak positif kepada pertuturan mereka dalam bahasa Inggeris.

“Ini kerana program ini menggunakan kaedah tersendiri untuk menarik perhatian pelajar, sekali gus memberi peluang mereka belajar dengan mudah tapi seronok,” katanya.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti Icebreakers, Meet the Spies Team Building Activity, Gizmos and Gadgets (HOTS activity), Murder Mystery dan Final Mission Scavenger Hunt.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 5:31 AM