ISKANDAR tekad pamer persembahan terbaik berdepan Ka Long.

Kuala Lumpur: Tanpa kelibat Datuk Lee Chong Wei, ia tidak memberi sebarang tekanan buat pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin menjelang pusingan pertama Terbuka Korea Selatan bertemu Ng Ka Long dari Hong Kong esok.

Iskandar yang tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Jepun minggu lalu selepas kalah kepada HS Prannoy dari India, mengakui sebagai pemain bukan pilihan masalah tertekan tidak ada dalam dirinya.

“Saya tidak perlu berasa tertekan, kerana saya bukan pemain pilihan dalam kejohanan ini. Saya hanya perlu bermain seperti biasa dan melakukan kejutan,” kata pemain dari Johor itu.

Ditanya mengenai aksi menentang Ka Long, pemain berusia 25 tahun itu mengakui dia akan menggunakan kemenangan terkini iaitu awal tahun lalu di Masters Malaysia sebagai pembakar semangat.

Kedua-dua mereka sudah bertemu sebanyak empat kali dan terikat dengan rekod 2-2, apabila Iskandar pernah tumpas kepada Ka Long di Terbuka New Zealand dan Austria tahun lalu.

“Saya memang sentiasa berentap dengannya tapi rekod tidak memihak kepada saya.”

Selain Iskandar, turut beraksi di Terbuka Korea Selatan adalah Goh Soon Huat yang akan bertemu jaguh Denmark, Hans Kristian Vittinghus pada pusingan pertama esok.

Sementara itu, Iskandar mengakui perjalanannya masih jauh untuk membuktikan dirinya sebagai seorang pemain perseorangan lelaki tersohor negara.

“Saya perlu keluarkan permainan apa yang saya ada sekarang. Saya harap mampu untuk mempertingkatkan prestasi dari masa ke semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 8:35 AM