NASI Arab Al-Qassam.
NASI Arab Al-Qassam.
MUNIF bersama Chef Muhammad Giad menunjukkan hidangan Nasi Arab Al-Qassam.
MUNIF bersama Chef Muhammad Giad menunjukkan hidangan Nasi Arab Al-Qassam.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Sepinggan nasi Arab bagaikan tidak cukup dek enaknya gabungan kambing, salatah, sahawa (sambal) dan sup berempah.

Penulis kurang gemar dengan masakan Arab 'Malaysia' kerana terlalu berempah dan berminyak, tetapi terkejut apabila mampu menghabiskan sepinggan Nasi Arab Al-Qassam bersama kebab.

Ternyata nasi arab di Restoran Munif Hijjaz D'Greenwood memberi penangan hebat kepada peng-gemar makanan Arab, khususnya mereka mendambakan sentuhan asli dari Syria.

Beroperasi sejak September lalu, restoran milik ikon nasyid, Munif Ahmad itu bukan saja popular kerana mengetengahkan konsep unik, tapi menjadi sebutan ramai berikutan keenakan sajian Arab.

Beliau berkata, sajian utama ialah nasi Arab mandy kambing dan ayam yang dimasak Chef Muhammad Giad Taja dari Damsyik, Syria.

"Chef Muhammad berpengalaman luas dalam bidang masakan dan datuknya tukang masak popular di Syria.

"Beliau sangat teliti kaedah penyediaan dan bijak menggunakan rempah mengikut kaedah tradisional Arab," katanya.

Chef Muhammad mengakui cerewet dalam penyediaan bahan dan hanya memilih rempah asli untuk memasak.

"Saya menggunakan kaedah memasak seperti di Syria kerana mahukan rasa lebih asli dan enak.

"Selebihnya, saya akan pastikan sos dan mayonis dibuat sendiri dan bukan dibeli dari pasar raya," katanya.

Dibuka setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam, restoran itu menawarkan hiburan berbentuk ketuhanan setiap hujung minggu.

Katanya, restoran itu juga menjadi tempat berkumpul artis nasyid baru dan lama.

"Kami ada pentas Night Live Show pada hujung minggu yang memberi ruang kepada artis nasyid baru membuat persembahan percuma," katanya.

Restoran itu turut menyediakan menu Thai serta masakan ala barat untuk pilihan pengunjung.

Hubungi Abdul Malek Manap di 0132229484 untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 5:03 AM