MAJLIS pelancaran album Mixology vs Octave.
MAJLIS pelancaran album Mixology vs Octave.

Kebelakangan ini nama DJ Fuzz semakin meniti di bibir pencinta muzik tempatan. Kebanyakan lagu ciptaannya membuahkan hasil dan mendapat tempat di hati pendengar.

Terbaru, dia yang turut bertindak selaku penerbit hadir dengan album terbaru berjudul Mixology vs Octave yang membariskan lagu dendangan penyanyi yang bernaung di bawah labelnya, Mixology Music dan Octave Music.

Menampilkan 15 trek, album itu menggabungkan lagu yang kini hangat diputarkan di radio dan beberapa lagu baru.

Antara lagu popular yang dimuatkan dalam album ini adalah Ada Saja nyanyian Amyra Rosli dan penampilan khas Waris, Subhanallah (Raqib menampilkan Waris), Berat (Mark Adam) dan Hanya Dirimu (Eleena Haris menampilkan Mark Adam).

Selain itu, turut ditampilkan lagu Serik Dengan Cinta dendangan Juzzthin menampilkan Maya Karin, Joget Budak Lawa (Lawa Nie Geng) dan Buat Macam Ni (Viral).

Mixology vs Octave turut mengetengahkan nama baru dalam industri antaranya Farah Farhanah yang tampil dengan lagu Sampai Jannah, Aaron Abdul (Prasangka) serta Eyza Bahra (Bulan).

Penyanyi lain yang tersenarai dalam album Mixology vs Octave adalah Zizi Kirana menerusi lagu Usah Risau, Amira Othman yang berduet bersama Raqib menerusi lagu Biar Masa dan DJ Fuzz (Silver Apron).

Kalau diamati, Mixology vs Octave mengetengahkan pelbagai genre bagi disesuaikan dengan kehendak masyarakat Malaysia hari ini.

Secara peribadi, lagu yang menarik perhatian semestinya Berat, Subhanallah serta lagu Silver Apron yang mengetengahkan susunan muzik berbeza.

Berat dendangan Mark Adam menampilkan sisi berbeza Mark yang sebelum ini lebih dikenali dengan lagu berentak ‘catchy’.

“Lagu Berat hasil perbincangan saya dan Fuzz. Jika sebelum ini, saya pernah muncul dengan lagu Pencuri, Si Katak dan Marry Me, kali ini ada kelainan menerusi Berat,” kata Mark.

Subhanallah dendangan Raqib dan Waris kini hangat berkumandang di corong radio. Uniknya lagu ketuhanan itu diselitkan muzik raggae dan berjaya menarik minat pengikut arus perdana. Lagu Silver Apron pula iramanya berbeza kerana bunyinya lebih keras.

Menurut Fuzz, kehadiran album ini membuka ruang kepadanya memperkenalkan artis naungan label miliknya.

“Alhamdulillah, menerusi album ini saya dapat memperkenalkan artis Mixology Music dan Octave Music. Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa saya wujudkan dua label berbeza.

“Matlamat kedua-duanya sama iaitu menyajikan karya buat peminat muzik. Namun, apa yang membezakannya adalah sasaran pendengar,” katanya.

Menurut Fuzz, dengan adanya dua pecahan ini, sasaran pendengar yang boleh dicapai juga lebih luas.

Bagaimanapun, album Mixology vs Octave tentunya akan menjadi bingkisan terbaik buat peminat yang dahagakan muzik terbaik pelbagai genre.

INFO:

Album: Mixology vs Octave

Artis: Artis Mixology Music dan Octave Music

Terbitan: Mixology Music Sdn Bhd

Edaran: Rusa Marketing Sdn Bhd

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 10:25 AM