X
NOR Hotijah mengangkat jagung sudah dipetik.
NOR Hotijah mengangkat jagung sudah dipetik.
NOR Hotijah memetik jagung terus dari pokok mengikut permintaan pelanggan supaya buah kekal segar.
NOR Hotijah memetik jagung terus dari pokok mengikut permintaan pelanggan supaya buah kekal segar.
 POKOK jagung ditebas untuk penanaman musim baru.
POKOK jagung ditebas untuk penanaman musim baru.
SHAFFIE di hadapan ladang jagung manis di TKPM Titi Gantong.
SHAFFIE di hadapan ladang jagung manis di TKPM Titi Gantong.
SHAFFIE menunjukkan jagung manis keluaran TKPM.
SHAFFIE menunjukkan jagung manis keluaran TKPM.
NOR Hotijah (tiga dari kiri) bersama Siti Ruhaida (kiri), Shaffie (lima dari kiri) dan peserta TKPM Titi Gantong menunjukkan jagung manis keluaran TKPM.
NOR Hotijah (tiga dari kiri) bersama Siti Ruhaida (kiri), Shaffie (lima dari kiri) dan peserta TKPM Titi Gantong menunjukkan jagung manis keluaran TKPM.
Noor Hidayah Tanzizi


Golongan belia di kampung termasuk siswazah menganggur, anda perlu menjadikan Nor Hotijah Shahbudin sebagai ikon!

Walaupun hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bertubuh kecil dan baru menginjak usia 30 tahun, hasil penat lelahnya membanting tulang di ladang berjaya membuktikan wanita juga mampu menjadi usahawan berjaya dalam bidang pertanian.

Hasilnya, wanita yang masih bujang ini mampu menjana pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan hasil tanaman jagung manis (zea mays). Pendapatan itu tidak termasuk tanaman betik dan pisang yang turut diusahakannya.

Nor Hotijah berkata, dia gembira memilih kerjaya sebagai petani moden dengan mengambil peluang mengusahakan tanaman jagung manis seluas empat hektar dengan 120,000 pokok ditanam di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Titi Gantong, Bota, Perak, sejak awal tahun lalu.

Lebih membanggakan, dia yang berasal dari Kampung Belanja Kiri, Parit, mempunyai dua hektar kebun betik dan pisang, namun komponen utama tanamannya adalah jagung manis.

Katanya, jagung manis mengeluarkan hasil selama tiga musim dalam setahun dengan setiap musim memerlukan 65 hingga 70 hari.

“Pada hari ke-45 selepas ditanam, bunga akan mula mengembang manakala tempoh pendebungaan sekitar jam 8 hingga 10 pagi, bergantung kepada keadaan cuaca.

“Jagung memerlukan cuaca panas, namun jika terlalu panas ia akan mendatangkan kesan kepada mutu tanaman. Walaupun proses penanaman jagung manis tidak rumit, pengurusan tanaman perlu betul. Paling penting kawalan serangga bagi mengeluarkan hasil terbaik,” katanya.

Menurutnya, kawasan ladang juga perlu bersih kerana rumput yang panjang dan semak akan menyebabkan pokok kurang subur dan hasil berkurangan.

“Pengeluaran sebulan mencecah empat tan untuk seekar ladang, manakala setongkol jagung dijual dengan harga 60 sen secara borong dan saya mampu memperoleh pendapatan purata RM4,000 hingga RM5,000 sebulan,” katanya yang dibantu dua pekerja.

Nor Hotijah mula menceburi bidang pertanian selepas tamat menyertai program Inkubator Usahawan Belia Tani (IUBT) anjuran Jabatan Pertanian pada tahun 2007.

“Walaupun kerja ladang lebih sesuai untuk lelaki, ia tidak menjadi masalah kerana minat mendalam saya dalam pertanian mengatasi cabaran dihadapi.

“Selain itu, penerimaan baik peserta lelaki yang sentiasa membantu menjadikan tugas saya lebih selesa dan mudah.

“Malah, status saya yang bujang menjadi kelebihan kerana masa sepenuhnya dapat dihabiskan di ladang dan kerja ini juga lebih sesuai dengan jiwa saya yang lasak sejak kecil,” katanya.

Rakannya, Shaffie Aziz, 39, berkata, dia mula menceburi bidang pertanian sejak 11 tahun lalu dengan menanam pelbagai jenis sayuran.

Menurutnya, dengan dibantu empat pekerja, dia kini mengusahakan tanah seluas 10.1 hektar yang ditanam jagung sepenuhnya.

“Selain usaha sendiri, bantuan Jabatan Pertanian dari segi infrastruktur, tapak, teknikal dan khidmat nasihat membantu melancarkan operasi pengeluaran, sekali gus meningkatkan pendapatan bulanan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Bahagian Hortikultur yang juga Pengurus TKPM Titi Gantong Siti Ruhaida Che Ani berkata, sehingga kini projek TPKM mempunyai 13 peserta termasuk dua wanita.

Katanya, keseluruhan ladang TPKM seluas 101 hektar dengan memperuntukkan 80 hektar untuk tanaman jagung manis sebagai komponen utama selain betik, nanas, pisang, labu, cili, terung dan rock melon.

“Pengeluaran jagung manis di sini dijalankan secara berjadual supaya boleh memenuhi kehendak pasaran. Bagi memberi identiti dan nilai tambah kepada jagung manis keluaran TKPM Titi Gantong, kami memilih menggunakan jenama TKPM TG Supercorn 001.

“Pemilihan ini berdasarkan kepada varieti jagung manis yang memberikan prestasi hasil, pertumbuhan dan kualiti yang terbaik berbanding beberapa varieti lain yang ditanam di sini.

“Malah, syarikat pengeluar benih juga terbabit dalam penjenamaan ini supaya kami memperolehi bekalan benih berterusan dengan kualiti yang sama pada setiap masa,” katanya.

Menurutnya, TPKM TG Supercorn mempunyai keistimewaan kosmetik luaran yang lebih baik, pengisian kernel penuh hingga hujung tongkol, peratus jumlah pepejal terlarut yang tinggi dan jangka hayat simpanan lebih lama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 11:14 AM