KEBERSIHAN paling diutamakan dalam penghasilan sos.
KEBERSIHAN paling diutamakan dalam penghasilan sos.
TENGKU Farah dan suaminya, Ahmad Kamal serius menjaga kualiti produk.
TENGKU Farah dan suaminya, Ahmad Kamal serius menjaga kualiti produk.
MENGENDALIKAN sendiri proses pembungkusan sos.
MENGENDALIKAN sendiri proses pembungkusan sos.
TENGKU Farah menunjukkan produk utama syarikatnya sos dan daging dendeng.
TENGKU Farah menunjukkan produk utama syarikatnya sos dan daging dendeng.
Mohd Rafi Mamat


Minat dalam perniagaan makanan berasaskan perencah menjadi pendorong kuat kepadanya untuk berusaha menghasilkan produk sos serba guna tiga rasa dan sos lada hitam.

Sokongan kuat suami yang berpengalaman luas dalam bidang masakan memberi kelebihan untuk dia menghasilkan produk berkualiti yang diterima baik semua kaum di negara ini.

Ini ditegaskan usahawan muda Tengku Farah Fatmawaty Tengku Mohd Mustaffar, 37, yang kini mampu berbangga menghasilkan produk jenama Farah Kamal yang mendapat permintaan menggalakkan.

Tengku Farah Fatmawaty berkata, dia dan suami, Ahmad Kamal Arvarruddin, 54, mengambil masa beberapa bulan untuk menghasilkan sos serba guna tiga rasa dan sos lada hitam yang mempunyai cita rasa tersendiri.

Menurutnya, pengalaman suami yang sebelum ini bertugas sebagai tukang masak di beberapa hotel terkenal di negara ini melancarkan lagi usaha menghasilkan produk yang dapat membantu suri rumah menyediakan hidangan enak untuk keluarga.

Produk sos serba guna tiga rasa itu sesuai digunakan untuk pelbagai masakan seperti ikan siakap tiga rasa, daging dan sayuran yang dapat menambahkan lagi selera pengguna.

“Saya bersyukur selepas dua tahun berada di pasaran, produk kami semakin terkenal dan mendapat permintaan menggalakkan daripada pengguna.

“Tugas isteri yang bekerja menjadi lebih mudah dan cepat dalam menyediakan hidangan untuk keluarga. Dalam masa beberapa minit sahaja, mereka boleh menyediakan hidangan tanpa mengeluarkan belanja yang besar.

“Dengan konsep air tangan ibu, saya yakin produk yang dihasilkan dapat memenuhi selera masyarakat pelbagai kaum di negara ini yang tidak terlalu pedas dan berminyak,” katanya.

Tengku Farah Fatmawaty berkata, bengkel syarikat Kerabat Makmur Event Services miliknya terletak di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Baru Pulau Serai, Pekan mampu mengeluarkan lebih 5,000 botol sos sebulan.

Dia mengakui untuk berjaya dalam perniagaan dijalankan pelbagai cabaran terpaksa dilalui. Pernah satu ketika dia hampir berputus asa dan meninggalkan bidang berkenaan.

Namun dia bersyukur sokongan kuat suami berjaya memulihkan semangatnya untuk terus berjuang dalam bidang perniagaan yang menjanjikan hasil lumayan sekiranya diusahakan dengan berkesan.

Menurut wanita itu, selain menghasilkan sos serba guna tiga rasa dan sos lada hitam, syarikatnya turut memasarkan daging dendeng yang sememangnya terkenal di daerah ini.

“Permintaan yang menggalakkan terhadap tiga produk ini menambahkan semangat saya untuk menghasilkan tujuh produk lain seperti kicap soto, sos masam manis, cili jeruk dan sos asam pedas dalam masa terdekat.

“Untuk menembusi pasaran tempatan dan luar negara, saya kini berusaha mendapat beberapa sijil perakuan dan sokongan daripada agensi kerajaan,” kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Katanya, dia kini menggunakan khidmat dua orang pekerja bagi membantunya mengeluarkan produk sos serba guna tiga rasa dan sos lada hitam. Produk daging dendeng dihasilkan apabila mendapat tempahan selain musim perayaan bagi menjaga kualiti dan kesegarannya.

Tengku Farah Fatmawaty yang sememangnya meminati bidang masakan berkata, untuk melancarkan lagi jualan produk dihasilkan dia turut terbabit dengan aktiviti pemasaran ke seluruh negara.

Menurutnya, selain untuk jualan tempatan dia juga kini berusaha menembusi pasaran Asia yang sememangnya terkenal dengan pelbagai hidangan istimewa yang menjadi tarikan pelancong.

Untuk memantapkan lagi perniagaan dia akan terus menimba ilmu daripada agensi kerajaan yang mempunyai kepakaran dalam bidang penghasilan makanan.

“Selain jabatan pertanian negeri saya juga turut akan mendapat bimbingan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Saya yakin kerjasama dengan agensi terbabit yang mempunyai kepakaran masing-masing dapat memajukan lagi perniagaan saya. Kemudahan yang disediakan kerajaan perlu digunakan sepenuhnya,” katanya yang merancang mengeluarkan pelbagai produk makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 11:44 AM