KUANTAN, 26 Sept --
BERNAMA

Kuantan: Polis Pahang sudah mengambil keterangan wakil Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku penganjur Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 berhubung tragedi meragut nyawa dua beranak di Jalan Sukpa, Indera Mahkota di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya juga akan mengambil keterangan Siti Suhaiza Seman, 38, iaitu isteri dan ibu kepada mangsa rempuhan.

“Kita akan mengambil keterangan beliau tetapi kita masih memberikan sedikit masa untuk beliau tenang dan stabil," katanya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Aziz tidak mendedahkan nama wakil UTM dan juga bilangan individu yang dipanggil untuk membantu siasatan.

Pada 11.30 pagi, Ahad lalu, penyelia kilang Izwan Isa, 39, dan anaknya Nur Zulaikha, lima, meninggal dunia akibat dirempuh sebuah go-kart ketika menonton perlumbaan itu.

Kemalangan yang dipercayai berpunca apabila tiga buah go-kart bergesel sesama sendiri serta turut menyebabkan Siti Suhaiza dan anak sulungnya Muhammad Izz Daniel, 7, cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 4:47 PM