BERNAMA

Kuala Lumpur: "Ingatlah anak itu satu anugerah dan amanah untuk kita jaga, jangan buat yang tidak betul, berilah didikan sempurna. Duduklah dalam penjara tu dan renungkanlah," kata Hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini, kepada pekerja restoran ketika menambah hukuman penjara daripada 20 tahun kepada 25 tahun kerana merogol anak tirinya yang berusia enam tahun, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah yang turut menasihatkan lelaki berusia 33 tahun itu supaya bertaubat, juga menambah jumlah sebatan yang dikenakan Mahkamah Sesyen daripada 15 sebatan kepada 20 sebatan.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan tertuduh bagi mengurangkan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 30 Oktober 2015 dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 14 November 2014.

Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan pada 7 November 2014, antara 5 petang hingga 9 malam, mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat.

Mohamad Shariff dalam penghakiman berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Sesyen bahawa saksi kanak-kanak (mangsa) bercakap benar dan disokong oleh keterangan saksi-saksi pendakwaan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 6:55 PM