HENDRICK (dua dari kiri) menjaringkan gol pertama Burnley. FOTO Reuters
AFP

Burnley, England: Pemain termahal Jeff Hendrick menyumbat gol sulungnya buat Burnley ketika mereka menewaskan Watford 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Turf Moor, awal pagi semalam.

Pemain tengah Ireland, Hendrick menyertai kelab itu dari kelab divisyen dua Derby County bulan lalu dengan bayaran dilaporkan £10 juta (RM53.6 juta) dan kontrak tiga tahun.

Pemain berusia 24 tahun itu membuka tirai jaringan pada minit ke-38 apabila dia menanduk masuk sepakan sudut Steven Defour dan pemain Belgium itu merencana gol kedua apabila Michael Keane menanduk masuk lima minit selepas rehat.

Ia kemenangan kedua kelab pendatang baharu Burnley musim ini selepas mengejutkan Liverpool sebelum ini.

“Saya fikir pemain amat bagus malam ini dan berhak menang,” ujar pengurus Burnley, Sean Dyche.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 8:01 AM