Shahrudin (kanan) menunjukkan barangan yang dilupuskan. FOTO Norfarhani Che Ad
Norfarhani Che Ad


Sungai Petani: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah melupuskan pelbagai barangan rampasan termasuk barangan tiruan berjumlah 18,346 bernilai RM317,244 membabitkan 48 kes bermula 2004 sehingga 2015.

Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPDNKK negeri Shahrudin Hamzah berkata, semua barangan yang dilupuskan adalah kes rampasan barangan pelanggaran Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

"Barang kes yang dilupuskan ini adalah hasil rampasan yang dilakukan pada bagi tahun 2004 sehingga 2015.

"Semua kes terbabit sudah selesai menjalani proses mahkamah dan mendapat kebenaran untuk dilupuskan," katanya pada sidang media di Kawasan Perusahaan Bukit Makmur, di sini, hari ini.

Antara barangan tiruan yang dilupuskan adalah 18,238 cakera padat (CD) yang tidak mempunyai hologram termasuk CD cetak rompak, tiga buah kereta yang digunakan untuk kegiatan penyeludupan, dan 105 pelbagai barangan tiruan seperti komputer, tong fiber, kerusi urut dan telefon bimbit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 12:42 PM