Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Polis Kelantan menahan 146 individu dan merampas dadah dianggarkan bernilai RM15,680 dalam tiga serbuan berasingan, semalam dan hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, semua suspek ditahan menerusi Ops Tapis Bersepadu di sekitar Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

Menurutnya, semua suspek berusia di antara 15 hingga 68 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B; 39A(1); 12(2); 30(3); 6; 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

"Operasi dilakukan dengan kerjasama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman bermula jam 11 malam semalam hingga jam 8 pagi tadi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Katanya, antara dadah yang dirampas jenis pil kuda, heroin, daun ketum, ubat batuk, syabu, ganja, eramin 5 dan pil psikotropik.

Beliau berkata, antara barang lain yang dirampas ialah sebuah motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 4:26 PM