BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, menambah tempoh hukuman penjara terhadap bekas koperal polis kepada 15 tahun kerana melakukan hubungan seksual dengan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dengan memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa lima tahun lalu.

Mohd Aziri Sahid, 58, juga diperintah mahkamah dikenakan tiga sebatan.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan untuk menambah tempoh hukuman penjara Mohd Aziri kerana membabitkan kepentingan awam.

Mohd Aziri dihukum penjara 100 bulan oleh Mahkamah Sesyen George Town pada 12 September 2013 dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 7 Ogos tahun lalu.

Dia didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen bagi tuduhan melakukan hubungan seksual dengan mangsa (sekarang berusia 11 tahun) dengan memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa di berek polis di Bandar Baru, Pulau Pinang, antara 28 Mei dan 12 Jun 2011.

Dia dituduh mengikut Seksyen 377 CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, panel mahkamah yang sama sebulat suara menolak rayuan Mohd Aziri terhadap sabitan dan hukuman.

Hakim Ong berkata, mahkamah mendapati rayuannya terhadap sabitan dan hukuman tidak mempunyai merit.

Panel itu turut disidangi Hakim Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Ibu gadis itu memberi keterangan pada perbicaraan bahawa Mohd Aziri datang ke rumahnya, memohon maaf dan mengancam menembak dirinya di kepala jika dia membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 5:49 PM