IKLAN luar yang dihasilkan oleh Big Tree.
Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Big Tree Outdoor (BTO), syarikat pengiklanan luar rumah (OOH) terulung di Malaysia menerusi korsortium yang diterajuinya, Seni Jaya Sdn Bhd dijangka dapat meraih RM300 juta pulangan menerusi penganugerahan konsesi pengiklanan bagi pakej pengiklanan luar dari Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) untuk tempoh 10 tahun.

Pakej pengiklanan yang dianugerahkan kepada korsotium itu terbahagi kepada tiga parsel iaitu untuk bahagian dalaman, luaran dan pengiklanan pada tren MRT.

Ketua Pegawai Eksekutif BTO, Jeff Cheah berkata, parsel bahagian luar berpotensi untuk membawa pulangan tinggi yang mana ia merangkumi jarak hampir 41 kilometer (KM) landasan tren yang melalui kawasan bandar berpendudukan tinggi seperti Sungai Buloh, Kota Damansara, Bandar Utama, TTDI, Damansara Heights, Cheras dan Kajang.

Beliau berkata, pihaknya percaya pemilihan korsortium itu oleh MRT Corp bersandarkan merit dan rekod cemerlang BTO serta Seni Jaya selain ia berpotensi memberi BTO sumber pendapatan baru selain meningkatkan lagi kehadiran serta reputasi syarikatnya dalam industri pengiklanan luar.

“Penganugerahan konsesi ini adalah satu pengiktirafan kepada pengalaman kami selama 17 tahun dalam pengurusan pengiklanan luar bagi sistem rel serta keupayaaan dalam menggunakan teknologi terkini untuk menawarkan perkhidmatan pengiklanan yang lengkap kepada pengiklan.

“Kami telah berusaha gigih selama dua tahun untuk menyediakan tender ini, termasuk membuat penyelidikan tanda aras teknologi terkini, membangunkan produk yang bersesuaian, formulasi strategi sebelum membuat pembentangan pembidaan pada Julai tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pengumuman MRT Corp berhubung penganugerahan pakej konsesi itu adalah kejayaan kedua BTO pada 2016. Pada Jun lalu, BTO berjaya mendapat konsesi pengiklanan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) dari Prasarana Malaysia Bhd.

BTO terkenal dengan penggunaan teknologi OOH yang terkini dan aset inventori digital ditempatkan di lokasi yang strategik serta kawasan utama sepanjang Jalan Maarof, Jalan Bangsar, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail di pusat bandar Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 7:24 AM