DIAZ (dua kiri) jaring gol tunggal Johor DT.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) tampak berdepan laluan sukar untuk menempah tiket ke final selepas sekadar seri 1-1 dengan Bengaluru FC pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Larkin, malam tadi.

Johor DT perlu menggandakan usaha untuk memburu kemenangan lebih selesa pada aksi kedua di Bangalore, India dengan skuad kendalian Albert Roca itu memiliki kelebihan gol di tempat lawan.

Bermula babak pertama, pelawat cuba beri tekanan di kubu tuan rumah apabila sepakan sudut Eugeneson Lyndoh sempat disambar John Johnson yang menyaksikan usahanya itu melepasi palang gol ketika penjaga gawang Izham Tarmizi Roslan sudah terkeluar dari posisi.

Corak permainan padat dipratikkan Bengaluru dengan setiap pemainnya mengekori rapat pemain tuan rumah sehingga menyukarkan mereka menguasai bahagian tengah ketika aksi memasuki minit ke-15.

Hanya pada minit ke-22 baru ada tanda-tanda kemaraan tuan rumah memburu gol apabila sepakan lintang Azammudin Akil gagal ditanduk kemas pertahanan lawan namun sepakan Jorge Pereyra Diaz dari luar kotak penalti gagal menepati sasaran.

Skuad kendalian Mario Gomez hampir mencipta jaringan pada minit ke-27 selepas tindakan pantas Mohd Azinee Taib menyaksikan hantarannya tepat kepada Juan Martin Lucero yang menanduk kemas namun penjaga gol, Amrinder Singh sempat melayangkan badan untuk menepis keluar.

Asakan bertubi-tubi tuan rumah masih belum mampu merobek gawang pelawat apabila sepakan lintang Azammudin pada minit ke-31 ditanduk Aidil Zafuan Abd Radzak tetapi hanya sedikit melepasi palang.

Sebaik babak kedua bermula, tuan rumah menggandakan asakan dan akhirnya penantian anak didik Gomez untuk memecah kebuntuan menjelma pada minit ke-52 selepas sepakan sudut Safiq ditanduk kemas Diaz yang melonjak tinggi untuk meletak kedudukan 1-0.

Namun kedudukan itu tidak kekal lama selepas pasukan pelawat melakar kejutan pada minit ke-56 untuk menyamakan kedudukan hasil tindakan Lyndoh merembat kencang dari luar kotak penalti yang menuju tepat ke penjuru kiri gol dengan Izham gagal menghalang bola daripada menerjah ke jaring. Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 8:56 AM