AB RAHMAN, Ketua Pengarah IB Datuk Juhari Shaarani (enam dari kiri), Awie serta pengarah teater Tun Mamat dan Puteri Gunung Ledang, Lokman Ghani (tiga dari kiri) dan Jalaluddin bersama pelakon.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Pentingnya teater berprestij dan berkualiti dipentaskan di Melaka yang dikenali sebagai negeri bersejarah. Apatah lagi Melaka tumpuan pelancong seluruh dunia.

Justeru, Kerajaan Negeri Melaka menerusi Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) mengambil inisiatif mewujudkan Panggung Bangsawan Melaka (PBM) bagi mementaskan persembahan teater terbaik kepada peminat.

Perasmian PBM akan berlangsung esok, jam 8 malam oleh Yang Di-Pertua Negeri Melaka Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob.

Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Melaka Ab Rahman Ismail berkata, sebagai bonus peminat akan disajikan dengan teater menarik Tun Mamat dan Puteri Gunung Ledang lakonan Awie, Datuk Jalaluddin Hassan, Vanida Imran serta artis budaya Istana Budaya pada malam sama.

“Kami percaya ramai akan memenuhi panggung yang boleh memuatkan 406 penonton. Pasti ramai tidak sabar menyaksikan lakonan mantap teraju utama teater ini.

“Cerita yang dipentaskan pula ada kaitan dengan Melaka dan pasti ia menjadi tarikan utama,” katanya.

Menurutnya, PBM dahulunya dikenali sebagai Panggung Cathay Cinema adalah panggung wayang tertua di negeri itu terletak di Jalan Munshi Abdullah, bersebelahan Sungai Melaka.

“Panggung ini jadi premis wayang terbaik pada awal era 60-an kerana menayangkan filem terbaru serentak dengan panggung di Singapura, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan bandar utama tanah air.

“Kami menghidupkan semula panggung ini dengan menukar namanya kepada Panggung Bangsawan Melaka.

“Panggung ini dinaik taraf pada 8 Ogos 2012 dan projek mula dilaksanakan pada 25 Februari 2013 dengan kos RM7,210,250. Ia diserahkan secara rasminya kepada CMI pada 25 September 2015,” katanya.

PBM yang berkeluasan 6,600 kaki persegi turut dilengkapi pendingin hawa, sistem audio dan pencahayaan yang canggih serta kemudahan lain.

Ab Rahman berkata, PBM diwujudkan untuk merealisasikan hasrat kerajaan negeri bagi mengekalkan kegemilangan sejarah Melaka.

“Pelbagai pengisian pementasan kesenian dan kebudayaan yang berprestij dan bertaraf antarabangsa sudah dan akan dirancang untuk memartabatkan seni serta budaya.

“Ia turut memenuhi hasrat Yang Dipertua Negeri Melaka apabila kewujudan panggung ini dapat mendidik penduduk supaya meningkatkan daya intelektual seni dan budaya.

“Ia juga satu lagi produk pelancongan Melaka yang dikunjungi kira-kira 16 juta pelancong setahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 11:25 AM