Pengarah JKR Melaka menutup muka selepas didakwa di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Pengarah JKR Melaka Datuk Khalid Omar didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, pagi tadi, membabitkan lapan tuduhan menerima barang berharga tanpa balasan, lima tuduhan rasuah dan tiga pengubahan wang haram, sejak 2014.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Tertuduh berdepan lapan dakwaan mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaanapabila menerima wang RM100,000 daripada beberapa syarikat dan individu tanpa balasan, di Pejabat JKR Melaka, Jalan Taming Sari, di sini, dari Mac 2014 hingga Julai 2016.

Tertuduh juga berdepan lima pertuduhan membabitkan rasuah mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan nilai suapan RM96,200 di pejabat sama sebagai upah pemberian projek penurapan jalan sepanjang Oktober 2015 hingga Ogos 2016.

Manakala tiga lagi tuduhan membabitkan pengubahan wang haram, apabila tertuduh didakwa membabitkan diri dalam aktviti pengubahan wang harap dalam tiga akaun Amanah Saham Bumiputra 2, Tabung Haji dan wang tunai yang keseluruhannya bernilai RM1.08 juta.

Hakim membenarkan tertuduh dijamin RM250,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 November depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 4:38 PM