MELAKA 28 SEPTEMBER 2016. ( mm260n / MB387P ) Terdapat sarang lipas dibahagian dapur tempat memasak sebuah kedai ketika Ops Tom Yam di Batu Berendam. STR/ MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan dua premis makanan di Jalan Telawi, Bangsar, yang didapati kotor dan dihurungi lipas di dapur, ditutup dua minggu bermula hari ini.

Arahan penutupan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL susulan pemeriksaan mengejut yang dilakukan terhadap 50 premis makanan di sini, malam tadi.

Timbalan Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran jabatan itu, P Chandarakant berkata dua restoran itu gagal mematuhi syarat kebersihan ditetapkan dan jika bahagian yang terbabit sudah dibersihkan, ia boleh beroperasi semula.

Katanya, penguatkuasaan arahan tutup premis dibuat mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (WPKL) 1985.

"Selain itu, 22 kompaun dikenakan terhadap 48 premis yang antara kesalahannya ialah pekerja tidak mendapatkan suntikan antitifoid dan gagal menunjukkan surat bukti pengesahan suntikan dengan memberi alasan tertinggal di tempat lain dan sebagainya.

"Ia tidak sepatutnya berlaku kerana bukti itu perlu sentiasa ada bersama mereka untuk kami buat pemeriksaan sama ada sudah mendapatkan suntikan (antitifoid) atau belum.

"Suntikan antitifoid juga perlu diperbaharui setiap tiga tahun sekali dan jika mereka didapati tidak berbuat demikian, kompaun akan dikenakan," katanya selepas operasi malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 4:56 PM