DARI kiri, Da’i Syed, Da’i Niezal, Da’i Nasrul dan Da’i Saiful mara ke separuh akhir.
DARI kiri, Da’i Syed, Da’i Niezal, Da’i Nasrul dan Da’i Saiful mara ke separuh akhir.
Ridzuan Abdul Rahman


Hanya berbaki dua minggu untuk menyaksikan siapa bakal ditabalkan sebagai juara Da’i Pendakwah Nusantara musim keempat yang bersiaran di TV3 setiap Ahad jam 9 malam.

Antara Da’i Nasrul, 20, Da’i Niezal, 19, Da’i Saiful, 18, dan Da’i Syed, 21, siapakah yang akan menjadi pilihan juri?

Apa yang pasti hanya tiga peserta mara ke pentas akhir manakala seorang terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada episod separuh akhir, 2 Oktober ini.

Episod ke-10 minggu lalu menyaksikan Da’i Hazman atau sebenarnya Mohd Hazman Yani Ahmad, pelajar Ijazah Sarjana Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia yang berasal dari Alor Setar, Kedah meninggalkan pentas Da’i.

Penerbitnya Shukri Ibrahim berkata, persaingan diantara empat perserta itu agak sengit dan hanya mereka mempamerkan persembahan terbaik pasti dapat beraksi di pentas akhir.

“Persembahan mereka akan dinilai juri tetap iaitu Ustaz Zarifi dan Ustaz Dr Izhar Arif serta juri awam. Saya lihat semua mereka mempunyai kekuatan tersendiri dan agak sukar juri memilih yang terbaik,” katanya.

Minggu lalu, mereka menerima pujian juri apabila tampil dengan persembahan meyakinkan.

Paling mencuri tumpuan Da’i Saiful, peserta paling muda dalam program itu.

“Anak jati Pulau Pinang ini berusia 18 tahun. Dia bijak membicarakan isu semasa secara spontan.

“Apapun, semua peserta ada kelebihan tersendiri. Jika dapat menunjukkan persembahan paling konsisten pasti berpeluang ke akhir dan akan meraih gelaran juara,” kata Shukri.

Bagi menambah pengalaman, mereka dibawa bertemu peminat di karnival Jom Heboh di Plaza Angsana, Johor Bahru pada hari ini dan esok.

“Mereka diberikan masa selama satu jam untuk menyampaikan tazkirah kepada pengunjur yang hadir. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu mereka berdepan dengan khalayak,” katanya.

Biarpun bersaing dengan program lain terutama yang berkonsepkan hiburan, Shukri lega Da’i mencatat rating 1.8 juta penonton setiap kali bersiaran.

“Semakin kuat saingan, semakin tinggi pula rating yang dicatatkan. Saya yakin program sebegini ada pengikut tersendiri.

“Da’i musim ketiga mencatat rating tinggi ketika pentas separuh akhir dan akhir. Kami mengharapkan perkara sama berlaku kali ini.

“Setiap musim kami ada buat penambahbaikan bagi memantapkan lagi Da’i. Kami juga mencari kelainan kerana penonton tidak suka disajikan benda sama,” katanya.

Fokus program ini adalah golongan muda yang berkebolehan berdakwah secara berhikmah.

Penonton boleh melayari www.tv3.com.my/dai untuk paparan video eksklusif, mengundi peserta pilihan kegemaran dan juga berpeluang memenangi hadiah kuiz mingguan.

Minggu lalu, Da’i Syed mendahului Da’i Nasrul dan Da’i Saiful dalam carta kedudukan Da’i Pilihan Penonton.

Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, layari laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia.

Gunakan hashtag #DaiTV3 untuk hangatkan lagi perbualan mengenai program ini di laman sosial. Penonton juga boleh menyaksikan program ini di tonton.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 9:44 AM