Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Universiti Sains Malaysia (USM) menyambut baik pelantikan Naib Canselor baharu, Prof Datuk Dr Asma Ismail yang juga Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pengumuman yang dibuat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh semalam bagi menggantikan Prof Datuk Dr Omar Osman yang menjawat jawatan itu sejak 27 September 2011.

Pengerusi Lembaga Gabenor USM Tan Sri Datuk Dr Zulkefli A Hassan berkata, Asma akan memegang jawatan terbabit selama tiga tahun dan berharap beliau dapat meneruskan agenda Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) USM dalam memacu kecemerlangan universiti berkenaan.

"Saya dan semua ahli Lembaga Gabenor mengalu-alukan pelantikan itu dan akan sentiasa menyokong serta memberi kerjasama bagi memastikan beliau dapat memimpin dan membawa USM sebagai sebuah universiti tersohor negara dan dunia.

"Seluruh ahli Lembaga Gabenor juga merakamkan penghargaan kepada Omar yang bekerja keras bagi meneruskan kecemerlangan institusi ini sebagai sebuah universiti yang menerajui dan memulakan pembangunan APEX 2020,"katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 5:33 PM