PASUKAN mencari dan menyelamat ketika operasi di Gunung Lambak. FOTO Adnan Ibrahim
Mohd Adnan Ibrahim


Kluang: Anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Sri Lalang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Lambak kira-kira 5 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang,Asistan Komisioner Muhamad Laham berkata, kehilangan Lans Koperal Norhisyam Abdullah, 30, dilaporkan oleh isterinya Siti Rafiah Zakaria, 25, pada 10 malam sebelum satu gerakan mencari diusahakan oleh anggota balai tempatnya bertugas, kira-kira 2 pagi semalam.

Menurutnya, pasukan mencari dan menyelamat dengan kekuatan 18 anggota Polis, sembilan anggota Bomba dan Penyelamat, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam, dua anggota Majlis Perbandaran Kluang dan 10 orang awam juga digerakkan pada 8.30 pagi.

"Gerakan mencari sehingga ke puncak gunung setinggi 1,500 meter itu telah dilakukan namun belum menemui sebarang kesan kehilangan anggota tersebut.

"Anggota terbabit yang mempunyai rekod perubatan menghidap penyakit asma dikhuatiri mengalami gangguan pernafasan ketika menaiki gunung semalam", katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 6:40 PM