Jue tidak letak sebarang syarat kepada penerbit. FOTO NSTP
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon Jue Aziz terkilan apabila ada segelintir pihak menyebarkan cerita dia sudah berhenti berlakon dan kini menetap di Indonesia menyebabkan tidak ada penerbit drama atau filem menawarkannya berlakon.

Jue, 33, berkata, dia menyedari perkara itu apabila kerap ditanya soalan sama setiap kali berjumpa dengan penerbit atau pengarah dalam beberapa majlis hiburan, baru-baru ini.

Jue yang berkahwin dengan pemuzik Indonesia, Bayu Pramana Putra Achmal sejak dua tahun lalu berkata, dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan sudah menetap di Indonesia dan tidak tahu bagaimana boleh timbul cerita tidak betul itu?

"Memang suami saya berasal dari Indonesia tetapi dia sudah bekerja dan menetap di negara ini. Saya berharap pihak yang tidak bertanggungjawab itu supaya berhenti menyebarkan cerita berkenaan kerana ia membabitkan periuk nasi saya dalam bidang lakonan," katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, pelakon filem Mat Moto Otai ini juga tidak menolak babak bersentuhan dengan pelakon lelaki walaupun dia sudah tampil dengan imej bertudung.

€œSaya berubah secara perlahan-lahan dan tidak mahu dianggap sudah menjadi ustazah sebaik mengenakan tudung. Jadi, sebab itu saya tidak mahu letak sebarang syarat kepada penerbit dan pengarah yang ingin menawarkan saya berlakon ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 7:39 PM