Awie tetap bersemangat teruskan pementasan. FOTO NSTP
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Melaka: Biarpun masih berdepan masalah sakit kaki misteri, penyanyi dan pelakon popular, Awie tetap bersemangat untuk beraksi dalam pementasan teater bangsawan Tun Mamat dan Puteri Gunung Ledang di Panggung Bangsawan Melaka, Jalan Munshi Abdullah, Kampung Jawa, di sini, malam ini dan esok.

Awie, 48, yang mengalami masalah itu sejak dua minggu lalu berkata, keadaaannya semakin pulih selepas mendapat rawatan doktor dan mengambil ubat.

€œSakit memang ada lagi dan saya perlu ambil ubat penahan sakit dan melupakan kesakitan berikutan komitmen terhadap teater ini. Saya tetap buat latihan seperti biasa sebelum ini dan kena beraksi dalam persembahan silat tari.

"Saya tetap teruskan berlakon kerana ini pembabitan pertama saya dalam teater bangsawan,€ katanya kepada Harian Metro.

Awie sebelum ini pernah menjalani ujian darah dan doktor mengesahkan ia bukan penyakit gout seperti disangka.

Awie turut pelik kerana kakinya tidak sakit sekiranya dipicit, dipukul atau diangkat, tetapi apabila dia memijak lantai kesakitannya amat ketara hingga dia sukar untuk berjalan dan terpaksa menggunakan tongkat.

"Selain mengambil ubat seperti saranan doktor,saya juga berubat secara tradisional untuk menyembuhkan penyakit ini. Selain itu, saya juga berpantang makan," katanya.

Teater yang turut membariskan pelakon Datuk Jalaluddin Hassan dan Vanida Imran ini dipentaskan sempena perasmian Panggung Bangsawan Melaka oleh Yang di Pertua Negeri Melaka, Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 8:51 PM