Palembang: “Mungkin ini berkat latihan yang saya terima dari Watson (Nyambek). Satu emas dan satu perak pada temasya AUG pertama saya adalah pencapaian yang boleh dibanggakan,” kata Jonathan Nyepa.

Semalam, Jonathan ‘membakar’ balapan Stadium Olahraga Jakabaring dengan catatan 21.57s dalam acara 200m lelaki untuk memenangi emas dan ia juga catatan terbaik peribadi berbanding 21.78s yang dicatat di SUKMA, Mei lalu.

Kelmarin atlet berusia 18 tahun itu menduduki tempat kedua acara 100 meter pecut.

“Saya menyiapkan diri untuk ke AUG sejak berakhirnya SUKMA Perlis.

“Saya beri tumpuan sepenuhnya terhadap larian saya dan gembira apabila berjaya mengalahkan senior saya, Harith Amar (Mohd Sobri),” katanya.

Harith Amar yang juga pilihan memenangi acara itu, mencatat 21.76s untuk berada di tempat kedua diikuti atlet Indonesia Muhamad Rozikin (21.86s).

Sementara itu, Zaidatul Husnia Zulkifli meraih perak dalam acara 200m wanita apabila mencatat masa 24.20s dengan emas dimenangi atlet Vietnam Vu Thi Houng (23.84s) manakala gangsa rakan senegara Nguyen Thi Thuy (24.41s).

Malaysia turut meraih dua gangsa menerusi Bibi Nuraishah Ishak dalam acara lontar peluru wanita dan Iskandar Alwi dalam acara lompat bergalah.

Bibi mencatat lontaran 12.52 meter dengan emas dan perak milik atlet Indonesia, Eki Febri Ekawati (13.58m) dan wakil Singapura, Lee Shih Yan (12.76m).

Iskandar pula mencatat 4.80m, di belakang atlet Filipina dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 7:28 AM