PELUMBA Finland mahu beri terbaik untuk pasukan sekurang-kurangnya kekal pencapaian musim lalu.
Lizam Ridzuan


Pelumba pasukan F1 Ferrari, Kimi Raikkonen memulakan karier dalam sukan Formula Satu (F1) bersama pasukan Sauber-Petronas pada 2001 sebelum mencipta nama dengan pasukan McLaren pada 2002 dan menjadi antara pencabar utama untuk pemandu legenda Michael Schumacher ketika itu.

2007 adalah tahun kegemilangannya apabila muncul juara keseluruhan bersama pasukan Ferrari dan kemudian bertukar angin ke perlumbaan rali hingga 2010. Kimi yang berasal dari Finland kembali ke kancah F1 apabila menyertai pasukan Lotus pada 2012 dan berada dalam kedudukan ketiga adalah pencapaian terbaik keseluruhan sehingga kini.

Pada 2014, beliau menyertai kembali pasukan Ferrari, namun berada pada kedudukan ke-12 keseluruhan dan musim 2015 Kimi berjaya meningkatkan prestasi pada kedudukan keempat dan musim ini beliau masih mencuba yang terbaik pada kedudukan semasa di tangga kelima dengan perlumbaan berbaki lima pusingan.

Ikuti temubual eksklusif Vroom bersama Kimi Raikkonen.

1. Musim terbaik anda dalam sukan F1?

Sudah pasti musim 2007 bersama pasukan Ferrari adalah musim terbaik dalam karier saya sebagai pemandu apabila muncul Juara Dunia Grand Prix F1.

2. Apakah sasaran anda pada tahun ini?

Perlumbaan yang berbaki lima pusingan lagi saya berharap dapat memberikan yang terbaik untuk pasukan sama ada dapat mengekalkan pencapaian musim lalu atau berada dalam kelompok lima pelumba terbaik antara sasaran saya untuk musim 2016.

3. Litar manakah yang paling mencabar untuk anda?

Setiap litar mempunyai cabaran yang berbeza seperti di Monza, Itali yang begitu teknikal dan pantas manakala Litar Antarabangsa Sepang adalah faktor cuaca yang panas sering mempengaruhi prestasi dan keupayaan keseluruhan jentera.

4. Apakah kenderaan yang digunakan sekarang dan berapakah kelajuan maksimum pernah dipandu?

Saya memandu sebuah kereta Ferrari dan meskipun begitu ketika di jalan raya saya tidak memandu laju kerana corak pemanduan di litar dan jalan biasa adalah berbeza. Di litar saya perlu memandu laju kerana karier saya manakala di jalan raya saya sama seperti pengguna yang lain perlu mematuhi undang-undang ditetapkan.

5. Jika anda tidak menjadi pemandu F1 apakah karier anda sekarang?

Sebelum terbabit dalam sukan F1 saya aktif dengan sukan hoki ais dan mungkin itu kerjaya saya ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:02 AM