Cakap pasal sikap endah tak endah, seorang lagi teman Cik Pang bengang dengan sikap pengacara dan pelawak popular, Zizan Razak yang tidak muncul pada sesi fotografi untuk satu akhbar.

Kata teman Cik Pang, kalau diikutkan pelakon Polis Evo itu sepatutnya ada temujanji fotografi khas bersama media pada satu tarikh ditetapkan.

Malangnya apabila tiba hari dimaksudkan, dia tidak muncul. Malah percubaan teman Cik Pang dan rakan pengarah yang sepatutnya menjalani sesi fotografi bersama menghubunginya, gagal.

Bukan sekali dua, berpuluh panggilan telefon dan pesanan ringkas langsung tidak dijawabnya. Hanya selepas separuh hari, baharulah pembantu peribadinya menghubungi teman Cik Pang dan beri alasan kereta pelawak itu bermasalah.

Perkara yang buatkan teman Cik Pang sakit hati, kenapa apabila panggilan telefon dan pesanan ringkas yang dihantar pada awal waktu tidak berjawab? Jika masalah pada kereta, apakah telefonnya juga bermasalah?

Kata teman Cik Pang, hal ini mungkin nampak kecil tapi sebagai pengamal media yang mahu mendapatkan sudut terbaik untuk artis kegemaran ramai, ia menunjukkan sikap tidak profesional artis itu.

Apatah lagi teman Cik Pang sudah menyediakan segala kelengkapan dari segi tajaan pakaian, solekan dan lokasi yang menarik.

Cik Pang harap perkara ini menjadi iktibar kepada semua artis tempatan agar turut sama menghormati kerja orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:07 AM