Lajim (dua dari kanan) ketika mengaminkan doa sebelum memberi ucapan mengisytiharkan keluar PKR, di Kota Kinabalu. FOTO Izhari Ariffin
Ardyhansah Amat


Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias Datuk Seri Lajim Ukin mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuatkuasa serta-merta di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Pembangkang di DUN Sabah turut meletak jawatan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah bagi menyertai parti tempatan baharu yang diumumkan kelak.

Turut mengambil tindakan sama hampir 70 peratus kepimpinan PKR negeri termasuk Ketua Penerangan PKR negeri merangkap ADUN Moyog Terrene Siambun, Setiausaha PKR Sabah Datuk Maijul Mahak, dan Ketua Wanita PKR negeri Jolhair Matlani bersama sebelas pemimpin cabang parti.

"Parti baharu akan turut 'bersama' parti pembangkang lain termasuk PKR, DAP dan parti yang ditubuhkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Bezanya parti baharu ini akan berpaksikan parti tempatan dan bukan bergantung kepada parti dari luar Sabah," katanya kepada media, hari ini.

Turut hadir, tujuh pemimpin DAP negeri termasuk Timbalan Pengerusinya Joan Goh, Naib Pengerusi DAP negeri George Hiew dan ADUN Likas Junz Wong (DAP) yang mengumumkan keluar parti dan melepaskan semua jawatan.

Lajim berkata, baik PKR dan DAP, keputusan keluar parti sudah dibincangkan terlebih dulu dengan pucuk pimpinan di peringkat pusat masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 4:47 PM