X
JASMINE membuat terjunan di Kompleks Akuatik Jakabaring..
JASMINE membuat terjunan di Kompleks Akuatik Jakabaring..

Palembang: Emas acara terjun 3m papan anjal wanita yang terkalung di leher Jasmine Lai menjadi penawar ketika enam acara renang yang disertai, tidak satupun berjaya dimenangi atlet negara di Kompleks Akuatik Jakabaring, semalam.

Jasmine mengumpul 258.20 mata, mengatasi Maria Natalie Inda dari Indonesia yang mengumpul 207.30 mata.

Hanya dua peserta menyertai acara berkenaan.

“Saya tidak meletakkan apa-apa sasaran di AUG 2014 kerana sebelum tiba di Palembang, saya tidak tahu siapa yang akan menjadi pencabar saya.

“Emas ini permulaan baik untuk skuad terjun dan saya harap ia memberi motivasi kepada dua lagi rakan saya yang akan beraksi esok (hari ini) dan Jumaat,” kata Jasmine, 19.

Skuad renang merakam hari terburuk apabila semua atlet menyertai enam acara dipertandingkan, kelihatan agak kaku dan hanya memenangi dua perak dan empat gangsa.

Dalam acara 200m gaya bebas lelaki, Daniel Bego sekadar menduduki tempat kedua dengan catatan 1:53.07s. Emas dimenangi atlet Filipina, Jessie Khing Lacuna (1:52.94s) manakala gangsa milik Bagaskara Satrio dari Indonesia (1:54.47s).

Khoo Cai Lin pula sekadar menduduki tempat ketiga dalam acara 200m gaya bebas wanita dengan catatan 2:06.59s. Atlet Thailand, Sriphanomthorn Banjaporn muncul juara dengan 2:03.57s diikuti perenang tuan rumah, Raina Grahana (2:05.86s).

Erika Kong Chia Chia yang memenangi emas kelmarin, gagal mengulangi pencapaiannya apabila sekadar memungut gangsa 100m kuak kupu-kupu dengan catatan 1:03.28s. Hannah Dato dari Filipina muncul juara (1:01.75s) diikuti atlet Thailand Sounthornchoti (1:02.23s).

Tern Jian Han sekadar memungut perak acara 100m kuak lentang manakala emas dimenangi atlet tuan rumah, Sudartawa I G Siman. Gangsa dimenangi atlet Thailand Krueakhamkhao Thanapoom.

Acara 100m kuak kupu-kupu lelaki dimenangi Sidiq Tiady dari Indonesia diikuti rakan senegara, Sutanto Glen manakala atlet Malaysia, Jie Chan di tempat ketiga.

Thailand memenangi emas 4x100m wanita gaya bebas berganti-ganti diikuti Indonesia di tempat kedua dan kuartet Malaysia, ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 9:16 AM
Digital NSTP Subscribe