Tengku Mohd Zailan menunjukkan gambar lelaki berusia 20-an yang dicari polis. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung : Polis mengesan seorang lelaki berusia 20-an bagi membantu siasatan membabitkan kes kematian seorang lelaki di stesen minyak di Batu 13, Segari, di sini, pada 5 September lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, lelaki itu masih bebas dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

"Sebelum ini seramai enam lelaki berusia 19 hingga 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan namun sudah dibebaskan tanpa syarat.

"Justeru, kita dalam usaha mengesan individu berkenaan yang dipercayai ada mempunyai dengan kes ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta melaporkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan,"katanya.

Orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Deputi Superintenden Ahmad Hisham di talian 019-5753207 atau 05-6899093.

Dalam kejadian kira-kira 8.50 malam itu, mangsa yang berusia 33 tahun menaiki teksi dari Sitiawan menghala ke Kuala Sepetang, Taiping bertindak menyerang pemandu teksi di stesen minyak di Batu 13, Segari sebelum dia dipukul beberapa individu tidak dikenali dan meninggal dunia 11 hari kemudian di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 8:09 PM