PASUKAN HAZMAT membersihkan lokasi tumpahan merkuri di makmal SMK Kuala Balah. FOTO ihsan bomba
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Jeli: Satu termometer terjatuh dan pecah menyebabkan merkuri tumpah di makmal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Balah, di sini, pagi tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba Kota Bharu Pegawai Bomba Kanan II Zainuddin Senawi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak sekolah pada 11.12 pagi.

Katanya, sebaik tiba, kawasan makmal terbabit sudah dikosongkan.

Katanya, pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Kota Bharu membersihkan kawasan yang terjejas itu

"Pasukan HAZMAT seramai lapan orang membersihkan tumpahan merkuri di makmal terbabit dengan menggunakan serbuk sulfur.

"Kawasan itu dibiarkan kosong sehingga keadaan selamat dan operasi tamat pada 2.44 petang dan tiada kecederaan dilaporkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 10:48 PM