SUBAHAN (kanan) bersama Pengarah Komunikasi QNET, Kuna Senathirajah bertukar dokumen perjanjian pada sidang media pengumuman QNET sebagai penaja utama kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2016.
Saiful Affendy Sapran

Petaling Jaya: Skuad hoki lelaki negara diletakkan sasaran sekurang-kurangnya ke separuh akhir edisi keempat Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan, Pahang pada 20 hingga 30 Oktober ini.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan, sasaran itu realistik jika mengambil kira perancangan jangka panjang skuad hoki negara selepas ini.

“Secara asasnya, kami mempunyai sasaran jangka panjang untuk layak ke Piala Dunia 2018 dan beraksi di Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

“Kami perlu juga memastikan skuad negara berada dalam kelompok 10 terbaik dunia pada 2020.

“Sasaran awal ditetapkan Pengarah Teknikal (Terry Walsh) adalah lapan terbaik dunia. Tapi jika berada dalam kelompok 10 terbaik itu sudah pencapaian yang memberangsangkan.

“Untuk memenuhi segala sasaran itu, kita perlu menghantar barisan pemain kita di kejohanan besar.

“Maka bagi Trofi Juara-Juara Asia, sasarannya adalah sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir,” katanya.

Subahan ditemui pada majlis mengumumkan syarikat jualan langsung, QNET sebagai penaja utama dengan jumlah tajaan RM500,000 sekali gus menyaksikan kejohanan itu dikenali sebagai QNET Trofi Juara-Juara Asia.

Selain Malaysia, lima lagi pasukan yang bakal beraksi adalah Pakistan, India, China, Jepun dan Korea Selatan.

Skuad negara menduduki tempat ketiga pada tiga edisi terdahulu iaitu di Ordos, China 2011; Doha, Qatar 2012 serta di Kakamigahara Jepun 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 8:21 AM