FOTO Daily Mail


BAYI lelaki berkepala dua dilahirkan di India dan dianggap sebagai `ajaib’ oleh pakar perubatan di negara itu.

Bayi lelaki 2.5 kilogram itu dilahirkan oleh wanita berusia dalam lingkungan 20-an, di Jawaharlal Nehru Medical College, di Ajmer, Rajasthan, utara India, Isnin lalu.

Pakar kanak-kanak pusat perubatan itu, Dr Jaiprakash Narayan, berkata semua orang tahu mengenai kelahiran bayi itu dan hendak melihatnya.

“Bayi lelaki itu dilahirkan sihat. Bayi berkenaan adalah anak sulung.

“Keadaan itu mungkin menyebabkan pasangan itu tidak bertemu doktor sepanjang proses kehamilan untuk mendapatkan khidmat nasihat.

“Si ibu juga tidak menghadapi masalah selepas melahirkan anaknya tetapi bayi itu menghadapi masalah pernafasan ketika proses kelahiran,” katanya.

Dr Jaiprakash mendakwa agak berat untuk melakukan pembedahan kerana dijangka menghadapi kesukaran.

“Tapi ada beberapa kes terpencil pembedahan boleh dilakukan apabila membabitkan bayi yang bercantum. Tapi bagi kes ini, ia hampir mustahil untuk melaksanakannya.

“Biarpun mempunyai dua kepala, semua organ dalaman adalah satu. Sepasang lengan dan kaki. Oleh itu, memang tak boleh dipisahkan,” katanya.

Selepas selamat dilahirkan, bayi berkenaan diletakkan dalam pengawasan di unit kawalan rapi.

Bagaimanapun, ayah bayi itu yang berusia 24 tahun kemudian memutuskan untuk membawa anaknya pulang biarpun diberi amaran risiko yang bakal ditempuhinya.

Bayi berkenaan tidak hidup lama dan mati selepas 32 jam dilahirkan.

Awal Ogos lalu, suami isteri di Gresik, Jawa Timur, Indonesia, terkejut selepas kandungan yang mereka sangka kembar sebenarnya bayi perempuan dengan dua kepala.

Sri Wahyuni, 33, dan suaminya Sugianto, 32, tidak mengetahui keadaan bayi itu sepanjang dia hamil disebabkan kandungannya tidak bermasalah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 9:59 AM