Elly (kanan) enggan ulas lanjut jika sindiran dituju kepada Faye. FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: "Siapa makan cili, dia akan terasa pedasnya," kata penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein, 36, apabila diminta mengulas beberapa kenyataannya di ruangan kapsyen Instagram miliknya semalam.

Antara hashtag yang ditulis Elly di laman Instagramnya adalah #BapaTakMelawatAnak, #BapaLepasTangan, #BapaKuOrangBujang, #KekasihBapaJealousTakBagiMelawatAnak, #KekasihkuDiperkatakanOrang dan #KekasihkuKononnyaDiFitnah.

Penyanyi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu juga memaklumkan, dia tidak menolak sekiranya ada pihak yang terasa hati dengan kenyataannya itu.

"Apa yang saya tulis sekadar kenyataan di laman sosial itu dan kalau ada pihak terasa hati, saya tidak boleh kata apa-apa,” katanya.

Ditanya sama ada dia menujukan semua kenyataan berserta hashtag yang ada unsur sindiran itu kepada pelakon, Faye Kusairi, Elly enggan mengulas lanjut.

"Sejak beberapa minggu lalu saya memuat naik beberapa gambar berserta kenyataan dan saya tidak mahu kaitkan dengan sesiapa. Tak sangka pula orang ramai kaitkan status-status itu dengan orang lain pula," kata pemilik akaun Instagram @iamellymazlein itu lagi.

Dalam salah satu gambar yang dimuat naik Elly berkaitan bahaya fitnah, secara kebetulan ada persamaan dengan foto yang dimuat naik Faye beberapa hari sebelum itu.

"Saya tak pernah membuka mahupun mengikuti perkembangannya di Instagram. Jadi, tak mungkin saya meniru atau menyindirnya," katanya lagi.

Faye, 29, pula ketika dihubungi memaklumkan tidak tahu menahu perkara itu dan menegaskan Elly berhak berbuat apa sahaja di Instagram miliknya.

"Saya tak pernah mengganggu sesiapa dan hanya buat hal sendiri. Kalau ada pun apa-apa gambar serta kenyataan yang saya kongsi di Instagram, ia tidak ditujukan kepada sesiapa termasuk dia. "Sehingga kini, saya tidak ada sebarang masalah dengan sesiapa dan orang lain pun tidak pernah ada masalah dengan saya," katanya.

Tambahnya lagi, dia menganggap apa yang berlaku sebagai perkara remeh.

"Banyak lagi hal lain yang saya perlu fikirkan berbanding hal remeh sebegini," kata Faye.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 10:31 PM